Tukar Selera, Ac Mizal Jadi Penyanyi Kafe?

Pengacara dan penyanyi terkenal, Dato Ac Mizal teruja menjadi tunggak utama dalam sebuah sitkom yang bertemakan zaman 60-an.

Memegang watak sebagai Jefri Dom, Ac atau nama sebenarnya Mizal Dato Zaini mengaku sejak dahulu dirinya juga merupakan salah seorang peminat muzik pop yeh yeh.

“Bagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’ apabila dapat memegang watak sebagai Jefri Dom dalam sitkom terbaharu bertajuk Kafe Pop Yeh Yeh ini.

“Sekurang-kurangnya dapat saya melepaskan rindu menyanyikan lagu-lagu popular 60 an. Secara peribadi saya merupakan peminat irama sebegini.

“Lagu rancak zaman sekarang susah kita nak tangkap atau layan melodi dan liriknya. Berbeza dengan pop yeh yeh, memang saya ‘layan’,”kata Ac Mizal ketika ditemui di konsert Jom Heboh yang berlangsung di Johor Bahru, semalam.

Dalam masa sama, Ac juga teruja dapat bekerjasama dengan kumpulan Kugiran Masdo dalam salah sebuah episod sitkom komedi ini.

“Mereka akan datang sebagai tampil sebagai artis undangan di salah satu episod. Ini juga merupakan kemunculan sulung mereka di dalam dunia lakonan.

“Setiap anggota Kugiran Masdo mempunyai karakter ‘mahal’ masing-masing. Saya percaya penonton pasti akan suka dengan persembahan mereka dalam sitkom ini nanti,”katanya yang memuji lakonan anggota Kugiran Masdo.

Jangan lupa saksikan sitkom Kafe Pop Yeh Yeh yang bakal bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam bermula 3 Ogos hanya di TV3!

SGMS Faida