Rindukan Ustaz Adam Dan Nur? Ini Berita Baik Untuk Anda!

Berita baik buat peminat drama hebat lakonan Syafiq Kyle dan Amyra Rosli yang trending sepanjang Ramadan lalu. Drama Nur bakal disambung sekuel keduanya tidak lama lagi. 

Perkara itu disahkan sendiri pengarahnya, Shahrulezad Mohammed menerusi akaun Instagram semalam. Menurutnya, beliau akur dengan permintaan penonton untuk melihat drama Nur kembali ke kaca televisyen.

“Utk para peminat drama Nur, officially abam would like to announce NUR2 akan masuk set tak lama lagi,” tulisnya dan ditag nama-nama pelakon dan krew yang terlibat di dalam Nur sebelum ini seperti @aamyrarosli @syafiqkylez @khiriah17 @azhan_rani @jalaludinhassan @fatimahabukar @therajaatiqullah @rienadiana_ @elmymoin_ @mathnirazak7 @kunamuzani dan ramai lagi.

Shahrulezad memberitahu kru produksi dan pelakon akan mula memasuki set penggambaran dalam masa terdekat. 

“Memang betul Nur 2 akan menemui penonton tidak lama lagi.

“ Cuma pada awalnya saya berdepan dengan perasaan yang bercampur-baur sama ada mahu menyambung drama ini atau tidak kerana saya seorang yang berpegang kepada prinsip tidak akan menghasilkan naskhah sekuel untuk mana-mana karya meskipun ia mendapat rating tinggi,” katanya.

Drama Nur yang disiarkan sepanjang Ramadan lalu melalui slot Samarinda di TV3 mencetuskan fenomena kerana jalan ceritanya yang cukup luar biasa.

Nur mengisahkan kisah Adam lakonan Syafiq, iaitu anak kepada penceramah selebriti terkenal, Datuk Ayah Haji Mukhsin (Datuk Jalaluddin Hassan).

Adam yang mahu menggantikan tempat ayahnya sebagai pendakwah, berkenalan dengan seorang wanita, iaitu Nur lakonan Amyra, yang akhirnya diketahui pelacur yang mahu mendekati agama.

 

SGMS Faida