Featured By: Aqilah Paharuzi February 9, 2023 @ 5:24pm

#RoadToAJL37: Taburan ‘Hujan’, Lontaran Vokal Dua Generasi… Ini Antara Trivia Finalis Gabungan ‘Meletop’ Sepanjang AJL

Kegemilangan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang sentiasa menjadi medan dalam menonjolkan bakat finalis sejak tahun 1986 sehingga kini kekal relevan buat pemain industri mencipta nama di persada seni.

Selain persembahan solo, acara berprestij ini tidak lengkap tanpa gabungan meletop finalis duet dan berkumpulan yang semestinya menyerikan malam anugerah ternama itu.

Menjelang AJL ke-37, XTRA ingin ‘throwback’ antara persembahan duet sepanjang AJL yang penuh gah serta dilengkapi dengan pelbagai elemen kejutan.

Ada yang diserikan dengan taburan hujan membasahi pentas Axiata, juga dimeriahkan dengan kehadiran pelakon kacak, serta mengambil langkah berani dengan penampilan istimewa pasukan koir menjadi antara momen-momen ikonik AJL!

AJL 27 – Hafiz Suip & Adira Suhaimi (Ombak Rindu)

Lagu fenomena, Ombak Rindu milik penyanyi Hafiz Suip dan Adira Suhaimi merupakan antara gandingan duet terbaik sepanjang AJL yang menonjolkan kemerduan vokal mereka.

Menjadi lagu ost untuk filem kegilaan ramai ‘Ombak Rindu’, semasa AJL 27 berlangsung pasangan duet ini membuat elemen kejutan dengan menampilkan hero filem tersebut, Datuk Aaron Aziz.

Antara momen yang tidak dapat dilupakan adalah Aaron mendukung Adira dan berlalu keluar pentas di saat akhir persembahan.

AJL 29 – MOJO & Caliph Buskers (Romancinta)

Meremang! Itulah perasaan yang digambarkan oleh penonton ketika MOJO dan Caliph Buskers bergabung dalam membawa lagu Romancinta semasa AJL 29 berlangsung.

Wajar dinobatkan sebagai persembahan terbaik AJL 29, nyanyian ‘memukau’ MOJO dan Caliph Buskers sehingga kini masih tersemat menjadi sejarah paling diingati sepanjang penganjuran AJL.

Mana tidaknya, penonton yang hadir menyaksikan AJL 29 secara langsung bersorak selepas usai persembahan mereka. Fuh, bergema macam nak runtuh Axiata!

AJL 31 – Misha Omar & Hafiz Suip (Terimaku Seadanya)

Gabungan dua penyanyi hebat yang penuh pengjiwaan, kedua-dua mereka pernah bergelar Juara dan acap kali merangkul trofi Vokal Terbaik AJL!

Siapa lagi jika bukan penyanyi tersohor, Misha Omar dan pasangan duetnya, Hafiz Suip yang ‘menghantui’ penonton AJL 31 hanya menerusi lontaran vokal mereka semasa membawakan lagu Terimaku Seadanya.

Saling berbalas memberi jelingan mata, mempersona penonton dengan gerakan tubuh seiring dengan lirik dan muzik menjadikan pasangan duet ini berjaya merangkul gelaran Naib Juara di AJL 31!

AJL 32 – Ernie Zakri & Syamel (Aku Cinta)

Meraih pujian persembahan bertaraf dunia dalam sejarah sepanjang AJL, video persembahan pasangan Ernie Zakri dan Syamel menerusi lagu Aku Cinta di YouTube mendapat jumlah penonton tertinggi untuk kategori duet hingga cecah lebih 15 juta!

Kata orang, kecil-kecil cili padi. Itulah yang wajar digambarkan buat Ernie yang memukau penonton menerusi segmen solonya, serta dimeriahkan dengan penampilan kumpulan koir.

Kawalan dan kematangan lontaran vokal pasangan duet ini membuatkan ramai penggemar acara berprestij untuk mengulangi semula persembahan mereka. “Tak boleh MOVE ON!,” kata peminat.

Maka, tidak hairanlah jika Ernie dan Syamel dinobatkan sebagai Vokal Terbaik AJL 32!

AJL 33 – Dayang Nurfaizah & Hael Husaini (Haram)

Tersemat sebagai persembahan paling diingati, ramai penonton semestinya berdebar-debar mahu menyaksikan pasangan duet Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini beraksi di pentas AJL 33, sekali gus dinobat sebagai Juara.

Membawa lagu Haram yang menjadi fenomena dan dipersembahkan dalam komposisi terbaik, serta menyelit ‘progression’ yang jarang dijumpai dalam lagu menjadikan persembahan mereka setanding penyanyi antarabangsa.

Selain harmonisasi dalam kemantapan vokal Dayang dan Hael, pasangan duet ini menampilkan gimik taburan hujan yang membasahi pentas Axiata menjadikan antara gimik ikonik yang bersejarah!

AJL 35 – Jamal Abdillah & Wany Hasrita (Belenggu Rindu)

Dilabel sebagai penyanyi ‘living legend’, Datuk Jamal Abdillah berjaya memukau ramai peminatnya dengan lontaran vokal semasa membawa lagu Belenggu Rindu.

Meskipun berbeza generasi, namun gabungan mantap Jamal bersama pasangan duetnya Wany Hasrita tiada tandingannya! Malah, kejayaan mereka dibuktikan apabila berjaya merangkul tempat ketiga AJL 35!

Otai memang berbisa! Itulah petikan yang sesuai untuk menggambarkan persembahan hebat Jamal dan Wany dalam menghangatkan pentas berprestij ini.

AJL 36 – Shila Amzah & S.O.G. (Pelukan Angkasa)

Kemunculan irama orchestra yang diselit dalam elemen persembahan mantap Shila Amzah dan pasangan duetnya, Sekumpulan Orang Gila (SOG) menjadikan momen ikonik AJL 36.

Tidak bergantung pada lirik, kekuatan lagu ini juga terdapat dalam susunan muzik dan gabungan genre berbeza iaitu etnik, rock dan metal menjadikan Shila dan SOG bergelar juara!

Lontaran vokal dan gabungan mereka menjadikan kemenangan mereka menjadi sebutan sehingga kini serta dikatakan telah memberi kebanggaan kepada peminat-peminat Indie.

Ini antara momen-momen ikonik buat pasangan duet sepanjang AJL. Bagaimana pula untuk persembahan duet di AJl 37? Sama-sama kita nantikan.

AJL 37 bakal bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, hanya eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

| Live TV

| ARTIKEL Xtra