Categories: HiburanTrending

“Roti Pun Ada Tarikh Luput” – Ikhwan Minta DJ Radio Reda Kontrak Ditamatkan

Bekas penyampai radio, Ikhwan Rosli berpendapat seseorang penyampai radio harus berlapang dada dengan penamatan kontrak di sesebuah stesen radio tanpa perlu membuat pertikaian yang tidak sepatutnya.

Ikhwan berkata, pertukaran penyampaian adalah perkara biasa dan sering terjadi dalam industri penyiaran radio.

Akui perlu berpegang kepada rezeki Allah yang luas, Ikhwan bagaimanapun meminta agar penyampai radio hormat dan faham situasi berkenaan.

“Apa yang terjadi kepada rakan saya, apa yang saya boleh cakap, make it simple sajalah.

“Maksudnya chill sajalah. Rezeki kalau sudah sampai situ maksudnya Tuhan nak beri lebih baik.

“Saya tahu perkara ini sensitif tapi saya tahu mereka yang terbabit dalam bidang penyiaran radio ini tahu caranya.

“Sebagai panyampai radio, kalau sudah berkhidmat dalam jangka masa panjang kita kenalah mengerti ada tempoh masa.

“Roti pun ada tarikh luput,” jelasnya.

Bahkan, Ikhwan menyifatkan penamatan kontrak adalah disebabkan pelbagai aspek sama ada masalah kerja, disiplin atau sebagainya lagi.

“Bila sudah terlalu lama, otak pun sudah tepu. Jadi mungkin kena tukar tempat lain. Tapi ia bergantung kepada stesen radio itu sendiri. Mungkin ada masalah, banyak aspek.

“Kena terima kontrak sudah habis, ada orang baharu dan sebagainya,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Ikhwan tidak menolak realiti bahawa setiap stesen radio bergelut dengan konflik dan politiknya tersendiri, namun penyampai radio harus berfikiran positif.

“Saya rasa setiap stesen radio ada politik, semuanya tak sama. Mana-mana pun ada politik bukan dalam industri ini sahaja.

“Jadi, saya rasa kita kena reda, cakap memang senang, tapi ia berdasarkan pengalaman dilalui selama 12 tahun, suatu jangka masa yang lama.

“Saya mengerti rezeki saya setakat itu sahaja. Jadi, tak perlulah berdendam. Kita santai sahaja, kenapa kita perlu nak kecoh-kecoh. Percaya cakap saya di hadapan ada rezeki yang lebih baik.

“Apa yang terjadi ada hikmahnya seperti apa yang jadi sekarang ini. Selepas kawan saya ditamatkan kontrak, rezekinya luas dan makin dikenali. Jadi, kena tengok dari sudut positif,” katanya.

Dalam pada itu, ekoran tular khabar angin yang mendakwa gaji seorang penyampai adalah tinggi, Ikhwan turut bersetuju dengan hal berkenaan.

“Mungkin ramai tidak tahu, dalam industri hiburan, penyampai radio menerima gaji tinggi. Secara jujurnya, dari zaman senior seperti Halim Othman dan Linda Onn, mereka terima gaji yang besar.

“Tapi kita kena tahu kenapa, ketika zaman mereka stesen radio adalah satu-satunya platform. Namun, sekarang ada banyak platform digital.

“Saya rasa mungkin sekarang sedikit berkurangan, tapi bergantung juga pada profil penyampai radio itu sendiri. Penyampai radio baharu mungkin murah, yang senior lama mungkin mahal,” ujarnya lagi.

Sumber : BH Online

Syamir Shafie