Categories: HiburanTrending

Harum Setangkai Doa Dedikasi Inteam buat Arwah Sahabat, Peminat Menangis Terkenang Suhaimi Saad

Kehilangan sahabat seperjuangan pastinya menimbulkan kesan yang sangat mendalam buat seseorang insan. Begitulah yang dirasakan oleh anggota-anggota kumpulan nasyid Inteam yang baru sahaja kehilangan sahabat baik mereka.

Allahyarham Suhaimi Saad bekas anggota Inteam sejak ditubuhkan sehingga 2005 telah pergi menghadap Ilahi pada 15 November 2023 yang lalu. Pemergian Allahyarham pada usia yang muda telah mengejutkan peminat industri muzik tanah air.

“Pemergian Allahyarham boleh dikatakan agak mengejut, dia hanya sakit dalam tempoh lebih kurang tiga bulan dan kami sempat menziarahinya di Johor ketika sakit beberapa minggu sebelum dia menghadap Ilahi,” ujar Syah, selaku ketua Kumpulan Inteam.

Ditanya kepada Abdul Rahim Inteam berkenaan pemergian Allahyarham Suhaimi, mereka sedih namun akur dengan takdir Tuhan.

“Walaupun sedih, kami reda dengan pemergian sahabat kami dan bersyukur kerana selepas kematiannya, banyak cerita-cerita dan pesanan kebaikan dia yang disebarkan oleh masyarakat, semoga ia menjadi pahala jariah buat arwah.

“Kami juga rasa sebak dan terharu kerana diberi keizinan oleh keluarganya untuk memandikan dan menguruskan jenazah arwah sehinggalah selesai proses pengebumian,” tambah Rahim lagi.

Manakala saudara Hazamin yang berada di Makkah ketika kejadian pula berkata dia mengalirkan tangisan tatkala mendapat khabar terbabit.

“Sewaktu berita kematian dia diterima, saya sedang berada di dalam keretapi laju dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Tanpa sedar air mata mengalir membasahi pipi bila mengenangkan kenangan-kenangan sewaktu bersama arwah dulu.

“Alhamdulillah semasa di Makkah, saya sempat menunaikan ibadah umrah badal untuk Allahyarham sebagai hadiah untuk dia,” cerita Hazamin Inteam yang merupakan sahabat Suhaimi sejak dari sekolah menengah lagi.

Baru-baru ini, Inteam melancarkan single berjudul Harum Setangkai Doa sebagai dedikasi untuk sahabat mereka yang telah pergi ini. Lagu ini telah mendapat respons positif dari peminat yang rata-ratanya menulis komen menyatakan sedih dan menangis apabila mendengar lagu tersebut.

Lagu ciptaan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara ini dilancarkan pada 5 Januari lalu di rangkaian Youtube Inteam Digital dan seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, Joox dan Apple Music.

Padin