Categories: HiburanSelebriti

Rush Hour 3 Bakal Ada Sambungan, Apa Kata Jackie Chan?

Pelakon terkenal Jackie Chan memberi bayangan filem gandingan bersama Chris Tucker berjudul Rush Hour 4 bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Memetik laporan ENews, Jackie yang kali terakhir bekerjasama untuk filem Rush Hour 3 sekitar 12 tahun lalu bakal membuat kejutan khusus buat pengikut dua nama besar ini.

“ Selama dua puluh tahun saya telah cuba pelbagai watak. Beberapa tahun lalu saya menjalani penggambaran Karate Kid yang sepatutnya ada sambungan Karate Kid 2. Namun atas beberapa faktor projek itu terbengkalai.

“ Selepas beberapa tahun, pihak produksi menghubungi saya kembali dan menyatakan hasrat. Nak tahu apa jawapan saya? Kalian masih mahu teruskan projek Karate Kid 2? Kanak-kanak dalam filem itu kini lebih tinggi daripada saya,” katanya.

Namun untuk projek Rush Hour 4, Chan dilaporkan tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan.

“ Untuk Rush Hour, bila-bila sahaja saya bersedia. Tahun depan!,” katanya bersemangat.

Katanya, pihak produksi dalam proses menyiapkan skrip dan proses penggambaran dijangka bermula tahun depan.

Jutawan Hong Kong itu turut memberitahu Tucker agar segera merealisasikan projek kali ini memandangkan masa berjalan sangat pantas.

“ Sebelum kita tua, jom lakukan sekali lagi,” katanya.

SGMS Faida