Ryan Bakery Tersinggung Didakwa Makin Sombong Semenjak Popular

Pempengaruh Ryan Bakery semakin dikenali melalui konten kreatif yang membuatkan ramai terhibur sehingga dia disegani ramai.

Memetik laporan mStar, Ryan mendedahkan ada pihak yang sanggup melemparkan pelbagai tuduhan kepada dirinya semenjak dia terkenal sebagai penghibur di media sosial.

Menurutnya, dia mengakui tersinggung membaca segala tuduhan negatif oleh segelintir netizen yang diterimanya di laman sosial.

“Apabila ada yang mengatakan saya sombong, ada juga rasa tersinggung tetapi saya terbuka dan terima kerana setiap daripada kita mempunyai pandangan tersendiri.

“Lagipun sebagai manusia biasa, mustahil untuk kita puaskan hati semua orang. Saya terima sahaja apa pandangan mereka,” katanya.

Tambahnya, populariti yang diraihnya ketika ini tidak membuatkan dirinya lupa akan asal usul.

Pada masa sama, Ryan menegaskan tiada sebab untuk dia sombong kepada peminat yang merupakan tulang belakangnya selama ini.

“Saya faham mereka hanya melihat apa disajikan di media sosial tetapi tidak mengenali saya secara peribadi. Melihat dan menilai itu mungkin hanya berdasarkan bahasa tubuh atau reaksi wajah.

“Sekiranya ada yang ingin tahu boleh sahaja datang menegur saya. Saya ini orangnya ‘masuk air’ dan ‘gila-gila’. Tiada sebab saya hendak bersikap sombong kerana pengikut di media sosial yang banyak memberi sokongan kepada saya. Tanpa mereka saya bukanlah siapa-siapa,” jelasnya.

Untuk rekod, Ryan mempunyai 2.9 juta pengikut di TikTok yang memuat naik siri video yang memaparkan nostalgia zaman kanak-kanak.

Sumber: mStar

Maya Basir