Saman Fitnah Siti Nordiana: Sam Samin & Aida G Failkan Pembelaan, Akan Lawan Tuntunan Di Mahkamah

Sam Musyadzafar Samin atau Sam Samin dan Razidah Ahmad Senusi atau Aida G. yang merupakan defendan keempat dan kelima disaman oleh Siti Nordiana atas dakwaan memfitnah beliau di laman media sosial Instagram memasuki fasa baharu setelah peguam defendan-defendan memfailkan pembelaan ke atas tuntutan saman fitnah yang dibuat penyanyi tersebut.

Perkara itu disahkan peguam Sam Samin dan Aida G. iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors di Shah Alam.

Pernyataan pembelaan tersebut difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini dan serahan telah dilakukan pada hari yang sama.

“Secara ringkasnya, berdasarkan pembelaan yang dimasukkan, pihak defendan keempat dan kelima percaya kes ini adalah tidak wajar diteruskan kerana kata-kata yang diadukan Siti Nordiana tidak berbaur fitnah.

“Dakwaan fitnah yang dibuat oleh Siti Nordiana terhadap anak-anak guam adalah disangkal,” tegas Nurul Hafidzah.

Peguam tersebut yang menyentuh isu substantif kes saman fitnah itu berkata tidak ada sebarang elemen fitnah dalam kenyataan atau percakapan anak-anak guam beliau.

“Defendan-defendan tidak takut kerana mereka berada di sisi kebenaran. Pihak defendan akan berjumpa pihak Siti Nordiana di mahkamah dan barisan peguam kami akan memberikan yang terbaik untuk membela nasib defendan-defendan semasa perbicaraan,” tambah Nurul Hafidzah.

Menurut laporan media sebelum ini, pada awal bulan Ogos, Siti Nordiana bertindak menyaman lima individu termasuk terhadap defendan keempat dan kelima.

Sebelum ini, Nurul Hafidzah memberitahu kenyataan yang anak-anak guam beliau berkemungkinan muflis sekiranya gagal untuk memasukkan kehadiran beserta pernyataan pembelaan selewat-lewatnya pada 17 Ogos adalah kenyataan yang salah dan dakwaan yang diperihalkan oleh pihak plaintif adalah tidak tepat.

Menurut beliau, kedua-dua anak guam menyangkal dakwaan yang mereka telah memfitnah plaintif dan pihak plaintif tidak berhak menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi ke atas pihak defendan.

Pihak defendan percaya bahawa semua dakwaan Siti Nordiana adalah tidak berasas dan tiada sebarang kenyataan atau percakapan yang telah dilakukan dengan niat jahat untuk mencemarkan nama baik plaintif, memfitnah atau memusnahkan reputasi plaintif.

Peguam itu berkata langkah seterusnya adalah menunggu penetapan tarikh perbicaraan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kredit foto: Harian Metro

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”