Sarah Fazny Popular Di Indonesia?

Penyanyi Sarah Fazny mengaku sedikit kecewa selepas tersingkir dari program realiti D Academy Asia 4, baru-baru ini.

Namun begitu, penyanyi kelahiran program realiti Mentor Legend ini tetap bersyukur apabila menerima sambutan luar biasa di Indonesia biarpun sudah terkeluar daripada program itu.

“ Waktu persembahan di konsert Top 15, kesihatan Sarah juga tidak begitu baik ketika itu. Namun begitu, Sarah tetap melunaskan tanggungjawab seperti biasa kerana tidak mahu menghampakan penonton.

“ Selepas pengumuman penyingkiran dibuat bahawa Sarah tersingkir, ramai peminat di sana mengirimkan kata-kata semangat. Rata-rata pengikut Sarah seolah tidak dapat menerima kenyataan. Ramai juga berharap diserap semula melalui pusingan wild card. Tak apa, Sarah percaya kepada ketentuan rezeki,” katanya kepada xtra.com.

Sementara itu, penyanyi berusia 23 tahun ini mengaku jumlah pengikut di Instagram naik mendadak sejak menyertai DAA 4.

“ Bayangkan dari 40 ribu pengikut ia meningkat ke lebih 80 ribu pengikut. Memang sebuah peningkatan drastik. Sarah amat bersyukur dengan penerimaan baik penonton di Indonesia.

“ Kalau ada rezeki dan peluang, Sarah mahu luaskan nama dan bakat di sana. Insya Allah,” katanya yang akan terbang ke Jakarta pada malam tahun baru nanti.

 

SGMS Faida