Sarah Suhairi Sebak Terkenang Arwah Rudy Imran – “Dia Banyak Tolong Saya, Tak Mampu Nak Balas”

Penyanyi Sarah Suhairi berkongsi rasa sebak apabila terkenang memori indah penulis lirik popular, Allahyarham Rudy Imran Shamsudin.

Memulakan karier seni dengan lagu Pedih hasil ciptaan lirik Rudy yang lebih dikenali dengan nama Iman Imran, Sarah meluahkan rasa bangga apabila dapat berkerjasama dengan penulis hebat itu.

“Saya masuk dalam industri ini, yang memberi sokongan dan dorongan mula-mula pada Sarah adalah Allahyarham Iman Imran (Abang Rudy) sendiri.

“Dia adalah orang yang menyokong saya sangat-sangat kuat daripada awal perjalanan karier saya sehingga hari terakhir Abang Rudy berada bersama.

“Bagi saya, saya sangat bangga dapat bekerjasama dengan Abang Rudy sendiri kerana dia seorang penulis lagu yang indah dan saya tak sangka di pergi begitu cepat kerana saya tak dapat tunjukkan apa yang saya lakukan hari ini kepada dia.

“Dia sangat-sangat rapat, dia tahu saya mengidolakan Dayang Nurfaizah, setiap persembahan yang saya lakukan, dia yang akan datang sendiri pada saya dan akan cakap ‘nyanyilah sepenuh hati, jangan fikir ia sebuah pertandingan, inilah masa awak untuk tunjukkan apa yang awak ada’.

“Dia adalah individu yang sangat baik dengan semua. Pada awal, dialah orang pertama yang datang kepada saya untuk ditemu bual, tolong Sarah dan meletakkan nama Sarah Suhairi ini di dalam industri,” kata Sarah kepada XTRA.

Sarah ditemui pada majlis Chillin’ Session With Rusa Music & MVM Music di Sunway College, Bandar Sunway, baru-baru ini.

Tak mampu membalas jasa arwah Rudy yang meninggal dunia pada 31 Mac lalu, Sarah berharap bekas wartawan hiburan popular itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Saya sangat bersyukur. Tiada kata untuk gambarkan apa yang dia lakukan. Sarah doakan Abang Rudy sentiasa ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Harapnya saya dapat jumpa dia di alam lain.

“Saya tak mampu balas apa yang dilakukannya untuk menaikkan nama saya sendiri. Tanpa dia tak naik juga nama Sarah Suhairi. Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan dia sebelum dia pergi, Alhamdulillah,” tutup Sarah.

Khairil Khusyairi