Sarat Hamil 7 Bulan Tak Halang Ernie Zakri Turun Padang Bantu Mangsa Banjir

Walaupun penyanyi Ernie Zakri kini sedang sarat hamil tujuh bulan, ia tidak menghalangnya untuk turun padang untuk membantu masyarakat yang dilanda banjir.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, memuat naik satu hantaran di Instagram miliknya berkongsi mengenai kegiatan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Ernie turut ditemani suaminya, Syamel dan mereka pergi ke beberapa lokasi yang terjejas di sekitar Shah Alam, Selangor.

“Terima kasih kerana izinkan saya ikut kamu, shurami! Pengalaman naik lori semalam best sampai bayi dalam perut pun bergerak-gerak gembira.

“Syukur Allah SWT permudahkan urusan kami semalam. Semoga ada kesempatan lagi untuk turut sama membantu. Amin,” tulis Ernie.

Menerusi hantaran berbeza yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, pasangan itu telah menyediakan makan malam untuk 300 orang, bekalan keperluan dan makanan kering untuk mangsa banjir.

Ernie turut meluahkan rasa sedih dengan keadaan banjir yang melanda pada hari lalu dan mendoakan agar semua mangsa dapat diselamatkan dengan segera.

Marcella