Tamat Status Ibu Tunggal, Oktovia Manrose Nikahi Bekas Pemain Bola Sepak

Pelakon Oktovia Manrose, 30, telah sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak Felda United, Mohamad Khairul Efsan Mdisa 31, pada malam Selasa.

Dengan sekali lafaz Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia dinikahkan oleh bapa kandungnya yang juga seorang penyanyi dangdut popular, Iwan Syahman.

Melihat kepada Instagram Story Oktovia, dia bersama suami mengenakan busana serba putih pada majlis akad nikah mereka.

Memetik laporan Mstar, majlis pernikahan itu didatangi kira-kira 250 tetamu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara tetamu yang hadir termasuklah Nadiyah Sahab, Nelissa Senrose, Uqasha Senrose bersama suami Kamal Adli dan Lufya Omar.

Aprena Manrose, adik kepada Oktovia juga berkongsi keadaan sekitar majlis pernikahan itu dan memberitahu Efsan yang juga mereka panggil sebagai ‘Abe Togo’ merupakan kawan lama mereka.

“Macam tak percaya Abe Togo yang dulu berkawan lama dengan kami rupanya jodoh you Angah,” tulis Aprena di dalam Instagram story yang dimuat naik.

Untuk info, ini merupakan perkahwinan kedua Oktovia selepas bercerai dengan Mohd Izat Abd. Rahman pada tahun 2015.

Oktovia dan Mohd Izat berkahwin pada 23 Februari 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan.

Arfah