“Saya Balas Dengan Pernikahan” – Cinta Berputik Di Balai Polis, Mamat Kongsi Momen Pertama Kali Jumpa Isteri

Pelawak Mamat Sepah mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi detik perkenalan bersama isteri tercinta, Nordiana Ibrahim.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Mamat menceritakan detik perkenalan bersama Nordiana bermula ketika dia ke balai polis yang juga tempat kerja isterinya ketika itu.

“Tujuh tahun yang lalu 8 November 2016. Pertama kali aku pergi balai polis Shah Alam untuk urusan tarik kes pergaduhan adik aku antara penyokong JDT dan Selangor.

“Hari yang sangat aku marah, memang sangat marah.

“Melintas seorang polis wanita di depan aku dan berhenti tegur aku ‘awak Mamat Sepah kan?’ Aku angguk dan berbincang sedikit tentang apa niat aku ke balai.

“Dan dia bantu aku untuk permudahkan urusan ku,” tulisnya.

Kongsi Mamat lagi, dek kerana isterinya membantu memudahkan urusan di balai polis tersebut, Mamat mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama Nordiana.

“Di situ bermula segalanya dan aku “balas” pertolongannya dengan pernikahan selepas 4 tahun berkenalan.

“Terima kasih Allah dengan pertemuan dan jodoh ku ini,” luahnya.

Untuk info, Mamat dan Diana mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2020 selepas dua tahun mengikat tali pertunangan.

Khairil Khusyairi