’Saya Bukan Jual Rupa’- Azerin Zainal Tepis Dakwaan Gelaran Pelakon ‘Kayu’

Pelakon baharu Azerin Zainal memberitahu tidak terasa hati apabila berdepan kritikan netizen mengenai lakonannya yang dikatakan ‘kayu’.

Menurut pelakon berusia 27 tahun ini, pengalaman berlakon dalam beberapa buah drama sebelum ini membuktikan dia bukanlah pelakon ‘kayu’ seperti yang didakwa.

“ Saya tidak kecil hati kalau orang kata bakat tak seberapa, jual rupa sahaja. Saya menerima beberapa tawaran selepas membintangi drama Doa Untuk Dijual.

“ Sejak itu, banyak tawaran dari produksi lain yang percaya dengan bakat saya. Sebagai pelakon baharu, saya perlu bersedia dengan segala kritikan mendatang. Insya Allah, beri saya masa dan saya mahu buktikan kehadiran saya dalam industri seni bukan sekadar tempelan,” katanya kepada XTRA.

Azerin atau nama sebenarnya Muhammad Zuhair Azerind Zainal memberitahu dia mengimpikan untuk berlakon di sisi pelakon wanita Zahirah Mcwilson.

“ Selain cantik semulajadi, saya kagum dengan lakonan Zahirah. Saya berharap jika ada peluang suatu hari nanti, saya mahu digandingkan bersamanya dalam drama atau filem,” katanya ringkas.

Terdahulu, sepanjang tiga tahun bergelar pelakon, Azerin pernah membintangi beberapa buah drama antaranya Mr Grey, Jodoh Jodoh Annisa, Ratu Kala Jengking, Doa Untuk Dijual dan beberapa lagi.

SGMS Faida