“Saya Bukanlah Seperti Dahulu” – Neelofa Akui Lebih Tenang & Mahu Lebih Bersyukur

Selebriti terkenal, Noor Neelofa meluahkan rasa syukur apabila mendapat suami yang sentiasa memberi tunjuk ajar, nasihat dan teguran buat dirinya dalam menjadi isteri dan Muslimah sejati.

Neelofa juga mengakui dia lebih peka apabila suaminya tak jemu menegurnya dalam apa jua perkara kerana Haris sangat mementingkan adab dan akhlak.

“Saya bukan seorang yang semuanya perkara boleh buat dengan baik. Macam dengan suami pun kalau ada perkara yang tak sefahaman itu normal. Jadi kita cuba perbaiki semula. Kita kena ada perasaan sebegitu tapi kalau kita sendiri yang macam nak kebahagiaan seorang saja sampai sudah tak ada titik pertemuan di tengah-tengah.

“Haris ini nampak saja macam itu tapi sekecil-kecil perkara pun dia memang sangat teliti. Contoh, cara saya duduk depan dia, cara saya jawab mesej dia. Dia sangat pentingkan adab dan akhlak. Kalau dalam mesyuarat, cara saya duduk, jawab soalan dia akan tegur. Dia kata kalau kita kurang ilmu dalam sesuatu perkara itu kita kena tunjuk adab dan akhlak yang baik.

“Dia akan tegur bila dah tak ada orang. Manisnya di situ. Dia juga tak jemu menegur, kalau saya memang dah penat nak buat macam itu. Benda yang sama dia boleh tegur saya berpuluh-puluh kali. Jadi saya pun jadi lebih peka selepas itu,” katanya.

Disoal mengenai kehidupannya selepas bergelar ibu, Neelofa mengakui kehadiran suami dan cahaya mata sulungnya iaitu Muhammad Bilal sedikit sebanyak mengubah kehidupannya yang sebelum ini dilihat sibuk dengan kerjaya.

“Saya tak rasa hidup saya terlalu sempurna, sebab mesti ada kurang di mana-mana. Tapi nak banding dulu dan sekarang saya rasa sekarang lebih tenang, hati saya macam penuh sebab ada anak dan suami yang boleh teman walaupun tak terlalu rancak tapi saya rasa dapat rezeki yang cukup.

“Saya tak adalah bekerja sekuat dulu. Banyak masa di rumah. Menjadi ‘lady boss’ itu dah banyak berkurang. Kalau urusan kerja, saya banyak serahkan kepada Haris. Kadang-kadang ada beberapa perkara juga yang saya perlu terbabit sebab kalau projek itu perlu ada orang pimpin. Tapi apa saya boleh cakap, saya bukanlah orang yang sama seperti sebelum ini,” katanya.

Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor ini juga meluahkan rasa syukur apabila diberikan perjalanan kehidupan yang seimbang baik daripada segi kehidupan peribadi mahupun kerjaya.

“Saya rasa ramai yang cemburu perjalanan hidup saya. Banyak orang yang mungkin terlalu awal kahwin atau lewat dapat anak. Saya rasa syukur, alhamdulillah, Allah bagi perjalanan hidup saya yang agak seimbang.

“Sekarang ni dah banyak masa di rumah, saya rasa berpuas hati dengan apa yang saya buat dulu. Kalau dulu saya berikan sepenuhnya dan buat sikit-sikit saja mesti sekarang saya masih nak lagi. Saya tak rasa terlambat pun dengan apa yang saya dapat sekarang. Kawan saya yang dah kahwin empat tahun lepas dan dah ada anak saya rasa macam boleh ikut jejak dia.

“Alhamdulillah saya gembira sekarang ini dan saya nak jadi hamba Allah yang bersyukur lebih. Saya pernah cakap yang Haris mengajar saya banyak perkara mengenai kesyukuran. Dia antara manusia yang banyak mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih bersyukur. Kadang-kadang saya terlepas pandang dan dia selalu ingatkan. Kalau saya macam tertekan dan sedih dia akan cakap dan bagi nasihat kepada saya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi