‘Saya Dalam Proses Mencuba’- Eleena Harris

Lama kita tak dengar khabar penyanyi muda, Eleena Harris.

Kali terakhir tampil dengan single pada awal tahun ini berjudul Peneman Hati, karier seni Eleena dilihat bergerak sedikit perlahan.

Meskipun begitu, gadis berusia 23 tahun ini tidak pernah berputus asa malah sentiasa mahu mencari peluang baharu.

Sebagai permulaan, Eleena yang dikenali dengan lagu-lagu funky sebelum ini kini mula berubah ‘arah’.

“Saya dalam proses mencuba, dari umur 18 tahun asyik nyanyi lagu funky, happy sahaja. Seiring peningkatan umur, saya sedar pemilihan lagu juga perlu semakin matang.

“Saya mahu fokus dengan lagu-lagu balada pula lepas ini. Insha Allah, lagu baharu akan menyusul awal tahun depan,” katanya kepada Xtra.

Eleena ketika ditemui di majlis pelancaran kempen jualan akhir tahun “YES, I Suka MBH Sale” dengan jingle lagu “I Pergi MBH”  di pusat kecantikan MBH Subang Jaya berkata, dia berharap dapat menarik semula hati pendengar seperti mana kejayaan lagu Terlalu Rindu.

Turut hadir pengasas MBH, Puan Yaya Mohamad di mana mereka turut melancarkan rawatan ‘facial’ serendah RM10.10 daripada harga asal RM69, sinonim dengan tarikh pelancarannya pada 10 Oktober semalam.

“Single pertama saya Terlalu Rindu mendapat sambutan baik dari pendengar malah jumlah penonton di Youtube juga mencecah hampir lima juta tontonan.

“Besar harapan saya agar lagu balada yang bakal dikeluarkan selepas ini menerima tempias yang sama. Ini mungkin percubaan pertama saya menyanyikan lagu balada dan saya berharap dapat ulang kejayaan seperti single pertama yang dirakam empat tahun lepas,” akhiri Eleena.

Eleena antara artis yang sering berkunjung ke MBH Medispa untuk membuat rawatan kulit wajah.

Oleh: Fas

SGMS Faida