“Saya Kini Bergantung Dengan Ubat” – Bella Astillah Ditahan Wad, Terdapat Cecair Di Dahi Kanan

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah telah dimasukkan ke wad sebuah pusat perubatan di Ampang gara-gara sakit kepala yang teruk pada Ahad lalu.

Memetik laporan Harian Metro, hasil pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonas (MRI) mendapati bahawa terdapat cecair pada bahagian dahi kanannya.

“Saya tidak pernah mengalami migrain atau sakit kepala seteruk ini. Selalunya kalau jatuh sakit saya akan cuba bertahan, tapi ini memang sudah tak boleh nak lawan hingga terpaksa ke hospital.

“Doktor memaklumkan saya mungkin menghadapi masalah sinus tapi ketika buat ujian MRI, ada cecair yang menghalang di bahagian kanan dahi saya.

“Saya kini bergantung dengan ubat tahan sakit dan doktor tidak menyarankan saya melakukan pembedahan kerana baru kali pertama berdepan masalah seumpama ini,” katanya.

Menurut Bella, dia bersyukur apabila suaminya, Aliff Aziz bantu menjaga anak-anak sepanjang dirinya dirawat di hospital.

“Sepatutnya Alif ke Singapura untuk bertemu keluarganya hari ini tapi disebabkan saya masih di hospital, Aliff beritahu dia akan berada di rumah menjaga anak-anak. Tiket yang sudah dibeli pun ‘hangus’.

“Saya pun tak tahu sampai bila akan ditahan di wad tapi saya harap masalah sakit kepala ini segera pulih kerana saya dan Aliff baru saja melancarkan muzik video single duet kami berjudul Tetap Di Sini, hari ini.

“Jadi banyak perancangan terpaksa ditangguhkan seperti sidang media dan aktiviti promosi. Doakan semoga saya segera sembuh,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir