Categories: HiburanSelebriti

“Saya Masih Sayang Ude” – Intan Liana

Suami kepada dramatis Izreen Azminda, Ude atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, bakal melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, 33.

Ude dijangka bakal melafazkan talak pada 22 Mac depan selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding yang berlangsung sebentar tadi.

Pemuzik yang terlibat dengan program Gegar Vaganza itu memfailkan permohonan cerai itu pada 30 November tahun lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pada prosiding itu, peguam syarie yang mewakili Ude, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memaklumkan bahawa anak guamnya dan Intan selaku defendan bersepakat untuk bercerai secara baik.

Mohd Zaidi memohon tarikh baru untuk Ude dan Intan berbincang menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas penceraian termasuklah perkara yang berkaitan dengan nafkah dan hak penjagaan anak.

Menurut Intan yang ditemui pihak media selepas sesi prosiding, dia tidak tahu apa salahnya sehingga menyebabkan Ude memfailkan permohonan cerai.

“Sehingga hari ini, saya masih sayangkan Ude. Bersedia atau tidak, saya terima dan reda lafaz cerai yang akan dibuat suami,” katanya yang menitiskan air mata.

Mengakui jejaka itu merupakan seorang suami dan bapa yang baik serta penyayang, hubungan Intan dan Ude menjadi renggang sejak November lalu.

“Kami sudah tidak sebumbung sejak November tahun lalu dan saya masih menetap di rumah yang disediakan Ude bersama anak-anak,” katanya.

SGMS Enal