‘Saya Masih Tunggu’-Eizlan Yusof

“Maknanya kenyataan dikeluarkan mereka membuktikan bahawa apa yang diperkatakan pihak saya sebelum ini adalah benar,” jawab pelakon dan pengarah Datuk Seri Eizlan Yusof membalas kenyataan media dikeluarkan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam hari ini.

“Saya masih menunggu permohonan maaf dan juga akan menunggu sehingga ke akhir Julai ini untuk berbincang dengan peguam untuk langkah selanjutnya.

“Biarpun pihak sana sudah memberi kenyataan media tetapi tuntutan saya masih belum dibuat, jadi saya tetap akan tunggu sehingga akhir bulan ini,” katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam menjawab dakwaan pelakon itu yang mendakwa pihak polis tidak telus dalam siasatan kemalangan dan menafikan anak beliau terlibat dalam kemalangan yang berlaku pada 11 Julai lalu.

Menurut pihak polis, fakta yang dinyatakan mereka adalah hasil siasatan awal yang dijalankan berdasarkan laporan polis yang dibuat serta hasil temuduga mangsa yang terlibat dan juga saksi kejadian.

“Siasatan masih belum selesai dan diteruskan untuk mengesan jika ada mangsa lain yang terlibat serta mengesan saksi-saksi bebas dalam kemalangan itu.

“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati ada seorang mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu iaitu seorang kanak-kanak yang telah dibawa untuk rawatan di hospital Sabak Bernam bernama Zareef bin Idris Yusof, berumur 9 tahun yang kemudian dikenalpasti sebagai anak Dato Seri Eizlan Yusof,” jelas mereka.

Selasa lalu, Eizlan mengadakan sidang media tergempar bagi menuntut permohonan maaf daripada PDRM kerana memberi kenyataan mengelirukan dalam sebuah media tempatan mendakwa anaknya, Zareef Yusof tidak terbabit dalam kemalangan di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar ketika dalam perjalanan ke set penggambaran drama Mak Cun.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Enal