Banyak Cabaran Sepanjang Berkahwin, Diana Danielle Mengaku Tak Kuat?

“Saya tak kuat tetapi saya ada penyokong yang buat saya kuat,”kata pelakon Datin Diana Danielle yang merujuk kepada ibunya, Norsiah Ramli yang sentiasa memberinya sokongan.

Akui Diana, banyak perkara yang dipelajari sepanjang berkahwin dengan pelakon Datuk Farid Kamil sejak tahun 2012.

“Orang lihat saya kuat dengan menghadapi pelbagai cabaran yang datang sepanjang kami berkahwin.

“Saya tak lah sekuat yang anda nampak cuma saya dikelilingi orang yang positif sekaligus membuatkan saya jadi kuat.

“Saya juga bersyukur peminat sentiasa ada untuk saya dan Farid dalam apa jua keadaan sekalipun,”katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen dan anugerah kecemerlangan AS Legacy di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, semalam.

Diana juga berpegang kepada nasihat yang pernah disampaikan oleh rakan selebriti, Hanis Zalikha agar sentiasa sabar dengan ujian.

“Allah SWT akan beri sesuatu yang lebih manis dan indah jika kita terus bersabar.

“Saya percaya selepas apa yang berlaku, hubungan saya dan Farid lebih tenang dan kami reda atas segala ujian,”katanya kepada Xtra.

Sebelum ini, Farid pernah dipenjara sembilan bulan atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Rumah tangga Farid dan Diana yang dibina pada November 2012, diserikan dengan sepasang cahaya Muhammad, 6, dan Nur Aurora, 4.

SGMS Faida