Ezlynn Kecewa Lagu Kurang Popular?

Penyanyi yang dikenali menerusi single berjudul Hi Hi Bye Bye, Ezlynn menyerahkan kepada rezeki untuk mendapat kembali lagu seperti single pertamanya itu.

Memulakan langkah dalam bidang nyanyian seawal usia 17 tahun lagi, mengakui bukan mudah untuk menduga kehendak dan trend penggemar muzik tempatan.

“Setiap penyanyi mempunyai perjalanan kerjaya mengikut ketetapan rezeki masing-masing. Ada yang beroleh rezeki mengecap populariti setelah tampil dengan beberapa buah single, ada pula seperti saya yang mana pertaruhan pertama mendapat sambutan memberangsangkan.

“Bukan mudah untuk mendapatkan momentum itu kerana sebagai penyanyi, kita sendiri tidak dapat mengagak bagaimana sambutan yang ingin diberikan oleh pendengar terhadap suatu lagu itu. Malah, hendak mengenal pasti kehendak pasaran atau trend terkini juga sukar.

“Insya-Allah…Apa pun, hakikat itu tidak melemahkan semangat saya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian. Mungkin kali ini kurang menerima sambutan, sebaliknya rezeki pada masa akan datang pula,” katanya kepada Xtra.

Ezlynn atau nama lengkapnya, Azline Ariffin berkongsi, dia turut membentuk imej baharu sempena kemunculan single terbaru, Goyang.

Tambah penyanyi berusia 37 tahun itu lagi, imej rambut palsu pelbagai warna bersesuaian dengan personalitinya yang lincah dan periang.

SGMS Faida