Categories: familuvFeatured

Suami kaki pukul, isteri perlu bertindak!

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan mahligai yang dibina atas dasar cinta kekal bahagia hingga ke syurga.

Bagaimanapun, tidak semua bernasib baik di mana ada perkahwinan yang kecundang di tengah jalan. Tidak kurang juga ada yang mengalami masalah lain antaranya mendapat suami kaki pukul.

Walaupun disepak terajang, hidup terseksa bagai dalam penjara, namun si isteri masih bertahan dan setia bersama suami kerana mahu menyelamatkan rumah tangga.

Mulut kata benci, tapi tiada sebarang tindakan diambil. Mungkin tidak mahu digelar isteri nusyuz, tapi adakah betul keputusan yang dibuat?

Foto: Babar Ahmad

Menurut perkongsian daripada Peguam Syarie, Suriati Ab Ghani menerusi Facebook miliknya, beliau berkata masih ramai isteri yang tinggal serumah dengan suami yang kaki pukul kerana risau disabitkan nusyuz jika keluar daripada rumah.

Ya, memang betul daripada segi hukum asalnya isteri wajib taat kepada suami, tapi dalam keadaan tertentu, isteri tidak wajib taat kepada suami dan boleh menuntut perceraian.

Suriati turut menjelaskan isteri tidak perlu risau jika keluar rumah akan disabitkan nusyuz kerana hakim tidak akan sewenang-wenangnya menjatuhkan nusyuz kepada isteri. Hakim akan mengadili serta memutuskan keputusan tersebut setelah meneliti daripada pelbagai sudut.

Isteri juga tidak perlu bimbang kononnya isteri nusyuz tidak berhak mendapat hak penjagaan anak kerana hakim akan melihat isteri tersebut nusyuz atas sebab apa.

Misalnya kalau suami kaki pukul dan terbukti bersalah, hak penjagaan mungkin akan diberi kepada isteri. Lainlah kalau isteri disabitkan nusyuz disebabkan bersalah atas dakwaan khalwat, mungkin juga isteri boleh hilang hak kelayakan menjaga anak.

Apapun, isteri kena kuat jika menjadi mangsa pukul suami. Bagaimana isteri mahu menggunakan alasan Fasakh sebab suami pukul, kalau isteri masih tinggal bersama serumah dengan suami. Janganlah menganiaya diri.

Foto: About Islam

Ini langkah-langkah yang mungkin boleh diambil jika anda menjadi mangsa pukul sang suami dayus:

1. Seeloknya berhubung dengan keluarga atau rakan terdekat sebagai tempat bergantung jika berlaku sebarang kecemasan.

2. Ambil gambar kecederaan yang dialami sebagai bukti.

3. Buat laporan polis dan mohon Perintah Perlindungan Sementara.

4. Dapatkan pemeriksaan doktor di hospital kerajaan.

5. Rujuk kes ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan perlindungan, jika perlu.

Ad Ops