“Saya Mula Bertemu Dia Ketika…”- Timbul Dakwaan Bercinta Dengan Shila Amzah, Ini Jawapan Amir Masdi

Dakwaan kononnya penyanyi, Amir Masdi dan Shila Amzah menjalin hubungan cinta timbul selepas mereka sering dilihat melakukan aktiviti bersama.

Memetik laporan Harian Metro, Amir bagaimanapun menepis dakwaan tersebut kerana dia dan Shila bertemu disebabkan aktiviti bermain badminton.

“Orang luar mungkin nampak kami rapat sebab kami selalu bermain badminton bersama-sama. Bukan kami berdua saja tapi ada ramai kawan-kawan selebriti lain yang turut serta.

“Saya mula aktif bermain badminton sejak tahun lalu lagi bersama pengacara Haziq Hussni, tapi Shila boleh dikatakan masih baru sertai kumpulan kami,” katanya.

Sementara itu, Amir juga menjelaskan dia dan pelantun lagu Patah Seribu itu hanya berkawan baik dan mula rapat ketika terlibat pada sebuah acara sambutan Aidilfitri Mei lalu.

“Kami hanya berkawan baik. Saya mula bertemu Shila ketika sama-sama menyertai program Masked Singer dan hubungan kami mula rapat selepas berjumpa di sebuah acara ketika sambutan Aidilfitri tahun ini,” ujarnya.

Menepis dakwaan tersebut, Amir juga menegaskan dia dan Shila tiada hubungan istimewa seperti yang diperkatakan.

Malah, ini adalah kali pertama dia diajukan dengan soalan demikian.

“Saya tak pasti kerana berita ini adalah kali pertama saya dengar. Saya berkawan dengan semua orang, tapi status saya masih single.

“Saya belum ada hasrat atau keinginan untuk berkenalan dengan sesiapa. Saya hanya nak fokus dengan kerjaya saya buat masa ini.

“Persahabatan saya dengan Shila pun ada sempadan sebagai kawan saja,” jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin