“Saya Sayang Dia… Tipulah Kalau Saya Cakap Saya Tiada Hati” – Ungku Ismail Rindu Nad Zainal

Kehidupan pelakon Ungku Ismail Aziz kini lebih suram selepas dramatis terkenal, Nad Zainal yang juga merupakan teman rapatnya berada dalam keadaan tidak stabil.

Dirawat di hospital sejak beberapa hari lalu, aktres itu dipercayai mengalami autoimun.

“Kami suka mencuba makanan di semua restoran di Kuala Lumpur. Apabila jadi begini tentulah lain jadinya. Apapun saya okey kerana ini adalah ujian untuk kami berdua.

“Saya sayang dia sebagai manusia. Dia sangat baik dan bertimbang rasa. Saya juga rindu untuk meluangkan masa dengannya pergi makan berdua,” katanya.

Sementara itu, Ungku Ismail merupakan susuk individu terpenting dalam melaporkan perkembangan terkini Nad sejak dia dikejarkan ke hospital pada Selasa.

Bahkan, Ungku Ismail juga dilihat tidak putus berkongsi hantaran menerusi rantaian di Instagram Stories (IGS) miliknya memohon agar orang ramai diluar sana mendoakan keselamatan dan kesembuhan buat Nad Zainal atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 32.

Memetik laporan Harian Metro, Ungku Ismail memohon dan berharap agar semua peminat dan orang ramai sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Nad berbanding ‘sibuk’ bertanyakan tentang status perhubungannya itu.

“Cerita kami ini adalah selepas dia bercerai. Bila dia isteri orang, tak mungkin kami nak rapat. Saya mula rapat dengannya ketika kami bersama-sama menjayakan penggambaran drama Cina Buta. 

“Selepas itu, saya mengajak dia merakamkan program travelog dan dia okey walaupun penggambaran itu membabitkan kos. Dia sanggup buat bersama-sama dan melabur. Kita tahu susah nak mencari pelakon yang boleh melakukan perkara ini bersama-sama tapi dia setuju dan suka,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan, Ungku Ismail secara terbuka mengakui dia kini sedang mengenali hati budi Nad.

Untuk rekod, Nad Zainal pernah mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan dengan dua orang cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6 dan Budi Kalsom yang kini berusia setahun.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin