“Saya Selalu Ingat Umur Saya 25 Tahun” – Rosyam Nor ‘Tanam’ Rambut Untuk Tarik Peminat Muda?

Pelakon Datuk Rosyam Nor memilih untuk melalui proses ‘tanam’ rambut demi kekal kelihatan awet muda selain mahu menarik peminat daripada kalangan orang-orang muda.

Menurutnya, dia bersyukur teknologi semakin maju dapat dimanfaatkan dari segi penampilannya bagi tujuan kerjaya seni.

“Sebagai seorang aktor, saya memberikan kepuasan kepada peminat saya, kepada penonton. Mereka pernah melihat saya muda dan pernah melihat rambut saya makin berkurangan.

“Nasib baik, sekarang ini ada teknologi yang boleh cabut rambut belakang tanam ke depan dan saya nak beri kepuasan kepada peminat lama, saya cuba dapatkan peminat-peminat baru dengan penampilan saya.

“Kalau dengan rambut ni boleh nampakkan usia saya lima atau lapan tahun lebih muda, why not? Saya selalu cuba berpakaian seelok mungkin untuk dapat peminat baru,” ujarnya.

Rosyam ditemui semasa majlis sidang media drama terbitan Astro Originals berjudul Jack Yusof di Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, dia memerlukan peminat baharu agar dapat kekal relevan di dalam industri seni.

“Peminat lama saya kalau dulu usia mereka 20 tahun, sekarang dah 50 tahun. Saya perlukan peminat baharu dimana mereka ‘pembeli’ baharu. Jadi, saya cuba untuk tampil dengan sesegak mungkin, walaupun saya bukanlah handsome mana, tapi saya cuba,” jelasnya.

Selain itu, Rosyam juga memastikan agar kesihatan dan tenaga seperti orang muda.

“Sebenarnya saya selalu ingat umur saya 25. Itu sebenarnya motivasi sendiri saja dan juga menjaga makan. Saya guna produk durian belanda yang ditanam di ladang saya.

“Ini kerana durian belanda mengandungi anti oksida yang tinggi untuk sel-sel dalam badan kita. Bila sel-sel badan kita sihat, kita nampak sihat dan muda sedikitlah,” kongsinya.

Maya Basir