Categories: HiburanTrending

“Saya Sudah Penat” – Hetty Koes Endang Mahu Berehat Dari Konsert, Hanya Terima ‘Job’ Untuk Program Amal Sahaja

Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang meluahkan rasa penat untuk mengadakan konsert pada masa akan datang dan mahu berehat.

Menurutnya, dia sudah terlibat dalam puluhan konsert di samping telah menghasilkan sebanyak 150 buah album sepanjang dia bergelar anak seni.

Akui sudah mencapai kepuasan buat dirinya dalam industri seni, dia kini membuka pintu buat pendatang baharu untuk menyerlahkan bakat.

“Saya sudah 53 tahun dalam dunia hiburan. Saya sudah penat. Bagilah kesempatan kepaa orang muda dan biarlah saya jadi pemerhati sahaja.

“Apa lagi yang saya mahukan? Saya telah melakukan semuanya sepanjang kerjaya saya,” ujarnya.

Memetik laporan mStar, Hetty masih menerima undangan menjayakan persembahan nyanyian yang membabitkan program kebajikan sahaja.

“Saya hanya menolak konsert yang berbentuk komersial. Jika acara amal saya boleh terima.

“Perkara itu lebih membuatkan saya rasa senang. Ia juga merupakan satu tanggungjawab apabila terlibat dengan acara sebegitu,” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Berdiri Bulu Romaku itu turut memaklumkan rahsia atau tips untuk memiliki stamina yang baik dalam nyanyian.

Kuncinya termasuklah penyampaian yang ikhlas di samping menjaga kesihatan diri.

Sumber : mStar

Syamir Shafie