“Saya Tak Nak Dia Terbiasa Dengan Keadaan Tu” – Merajuk Dengan Suami, Dahlia Rizal Tidur Luar Bilik Gara-Gara…

Meskipun baru sebulan mendirikan rumah tangga, pempengaruh media sosial dan isteri kepada pelakon Imran Aqil iaitu Dahlia Rizal mendedahkan pernah tidur luar bilik kerana merajuk dengan suami.

Memetik laporan Harian Metro, dia bertindak seperti itu selepas suaminya tidak mengemas dan membasuh pinggan selepas makan.

“Kesalahan yang dilakukan Imran kecil saja iaitu dia tidak mengemas dan membasuh pinggan selepas saya menyediakan ayam masak kicap kegemarannya.

“Jadi saya pun ambil keputusan tidur luar bilik dan baring di atas sofa ruang tamu. Saya ingatkan dia tidak akan pujuk, tapi dia datang dan dukung saya,” ujarnya.

Menurut Dahlia, dia tidak mahu perkara itu menjadi kebiasaan dan mahu sentiasa mengamalkan konsep saling bantu-membantu dalam menjalani kehidupan rumah tangga.

“Saya saja gaduh-gaduh manja dengannya sebab saya nak ajar dia supaya tidak mengulangi perkara itu pada masa akan datang.

“Saya tak nak dia terbiasa dengan keadaan itu, tapi dia beritahu bukan tidak mahu mengemas sebaliknya terlupa,” katanya.

Disoal mengenai perancangan menimang cahaya mata, Dahlia memberitahu belum bersedia untuk mempunyai zuriat buat masa terdekat.

“Sebelum bernikah keluarga saya sudah ajak berbincang mengenai perancangan untuk mendapatkan zuriat kerana mereka nak saya ada anak segera.

“Tapi saya beritahu belum bersedia lagi kerana ada keinginan yang saya nak capai dulu. Jadi untuk mendapatkan apa yang saya hajati, saya perlu bekerja keras.

“Kalau nak tahu saya susah nak luang waktu dengan Imran sekarang ini kerana saya pulang ke rumah pun jam lapan malam hampir setiap hari.

“Kalau nak ada anak sekarang ini, mental dan fizikal saya belum bersedia sepenuhnya. Lagipun saya nak luang waktu dengan suami terlebih dulu dalam tempoh setahun dua ini dan selepas itu ambil cuti kerja untuk fokus mendapatkan zuriat,” jelasnya.

Untuk rekod, Dahlia dan Imran mendirikan rumah tangga pada 9 September lalu selepas setahun mengikat tali pertunangan.

Maya Basir