“Saya Tak Terfikir Nak Bersara” – Lerai Spekulasi, Ella Bikin Konsert Apresiasi Sempena 35 Tahun 10 Jun Ini

Penyanyi Rock Ella tampil merungkai segala spekulasi berkenaan berita persaraannya dari industri seni, baru-baru ini

Sebelum ini, Ella telah memadamkan segala perkongsian di Instagram dan memuat naik sebuah gambar yang mengucapkan terima kasih untuk 35 tahun penglibatannya dalam industri.

Menurut Ella, dia sengaja meninggalkan perkongsian tersebut di ruangan media sosialnya sebagai tanda penghargaan untuk peminat yang menyokongnya sepanjang bergelar anak seni.

“Kenapa saya padam semua gambar? Kerana saya mahu satu ucapan istimewa kepada peminat yang telah bersama saya selama 35 tahun usia seni.

“Saya mahu mereka tahu, saya betul-betul berterima kasih kepada setiap pengikut. Sebab itu saya padam semua gambar supaya mereka tak perlu scroll,” katanya.

Bimbang akan peminatnya terus bersedih dengan tindakannya, Ella tampil mengumumkan dirinya bakal mengadakan Konsert 35 Tahun Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, pada 10 Jun ini.

“Ramai yang menangis dan bertanya benarkah saya mahu bersara. Ramai yang salah sangka hantaran penghargaan itu sebenarnya.

“Saya tak terfikir untuk bersara. Konsert ini juga bukan yang terakhir. Saya akan terus keep on rockin’,” ujarnya.

Perkongsian tersebut telah didedahkan oleh Ella ketika ditemui di Majlis Sidang Media Konsert 35 Tahun Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, hari ini.

Selain itu, pelantun lagu Nuri itu menyatakan dia bakal mempersembahkan 35 lagu
dengan diiringi pengarah muzik, Datuk Acis.

“Konsert tersebut akan berlangsung di Axiata Arena, 10 Jun depan. Konsert anjuran Hitman Solutions ini adalah satu dedikasi kepada semua pendengar setia lagu-lagu saya.

“Walaupun judulnya Jilid Terakhir, tetapi saya percaya ini adalah permulaan baharu bagi pengembaraan saya yang seterusnya,” jelasnya.

Orang ramai boleh mula membeli tiket Konsert 35 Tahun Jilid Akhir: Ella Puteri Kota pada 13 Mac ini.

Fatin Nurain