Sebar Mesej Kebencian, Ahmad Dhani Masuk Penjara 18 Bulan

Bekas anggota kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani didapati bersalah seterusnya dihukum penjara 18 bulan kerana menyebarkan mesej kebencian di Twitter.

Detik News melaporkan, hakim Ratmoho membacakan hukuman itu dalam perbicaraan di sebuah mahkamah di Jakarta Selatan hari ini.

“Tertuduh Dhani Ahmad Prasetyo atau Ahmad Dhani terbukti secara sah dan yakin bersalah melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Ahmad Dhani, 46, didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian dalam tiga kenyataan di Twitter @AHMADDHANIPRAST.

Kenyataan itu dimuat naik oleh pengendali Twitter berkenaan iaitu Bimo yang menjadi saksi.

“Saksi memberitahu dia menyebarkan kenyataan itu atas arahan tertuduh,” kata Ratmoho.

Kenyataan pertama yang dimuat naik adalah “Yang menistakan agama si Ahok…yang diadili KH Ma’ruf Amin”.

Kenyataan kedua pula adalah “Siapa saja dukung penista agama adalah bajingan yang perlu diludahi mukanya,”.

Yang ketiga pula adalah “Kalimat sila pertama KETUHANAN YME, PENISTA Agama jadi Gubernur…kalian WARAS??? – ADP,”.

Sementara itu, isteri Ahmad Dhani, penyanyi Mulan Jameela yang turut berada di situ dilaporkan hanya tertunduk lesu ketika keluar dari mahkamah menuju ke kereta.

Ahmad Dhani mengeluarkan kenyataan itu ketika bantahan terhadap bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok yang dituduh menghina agama Islam sebelum pemimpin itu dihukum penjara.- Agensi

SGMS Faida