Sedar Ruang, Jangan Merepek…

Dalam sesebuah produksi banyak pihak yang terlibat dalam menjayakan sesebuah produksi tak kira drama mahupun filem dan disebabkan itu, pengarah Heykal Hanifah berpendapat bayaran yang diterima pengarah seharusnya lebih tinggi daripada gaji pelakon.

Ini kerana pendiriannya cukup mudah iaitu seorang pengarah ialah orang yang mengetuai sesebuah produksi dan sememangnya wajar mereka menerima bayaran yang paling tinggi dalam sesebuah produksi.

“Ini pendirian saya. Saya memang tidak akan ambil tawaran mengarah sekiranya bayaran yang diterima pelakon lebih tinggi daripada pengarah.

“Saya tak tahu mengenai orang lain tapi bagi saya, sebagai seorang nakhoda dalam sesebuah penerbitan drama, pengarah berhak menerima bayaran lebih tinggi daripada yang lain.

“Bagi saya kita kena sedar ruang dan jangan merepek sebab setiap produksi bekerja dalam bajet yang telah ditentukan oleh pihak penerbit,” katanya.

Heykal ditemui pada majlis anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Menerusi DFKL 2018, Heykal memenangi trofi Pengarah Pilihan menerusi drama arahannya, Titian Cinta lakonan Zul Ariffin dan Farah Nabilah.

Perkembangan terbaharu, suami kepada pelakon Faezah Elai itu baharu sahaja habis mengarah sebuah teledrama untuk siaran Aidilfitri berjudul Taubatku Di Sujud Terakhir.

Drama itu dibintangi tiga pelakon yang semakin mencipta nama iaitu Syafiq Kyle, Farah Nabilah dan Syazuwan Hassan.

SGMS Faida