Selamat Lahirkan Cahaya Mata Kedua, Isteri Aril Pilus Hilang Banyak Darah & Terpaksa Buang Rahim

Isteri kepada penyanyi dan pengacara, Aril Pilus iaitu Puteri Erma Edlinda telah selamat melahirkan cahaya mata kedua, pada Isnin.

Memetik laporan Harian Metro, namun isterinya masih belum stabil dan berada dalam ruang pembedahan bagi membuang ketumbuhan (fibroid) yang melekat di bahagian servik dan rahim.

“Syukur atas kurniaan Allah SWT, isteri saya selamat melahirkan bayi jam 10.20 pagi. Alhamdulillah.

“Walau bagaimanapun, isteri saya masih belum dalam keadaan baik, kesan daripada pendarahan yang tak berhenti akibat daripada ketumbuhan (fibroid) yang melekat di bahagian servik dan rahim menyukarkan proses pembedahan.

“Selepas mendapat nasihat daripada doktor, isteri saya sekali lagi dimasukkan ke bilik pembedahan untuk proses pembuangan fibroid dan rahim.

“Doakan isteri saya selamat dan kembali sihat seperti sedia kala. Amin,” katanya.

Terkini menerusi perkongsiannya di Instagram, pelantun lagu Menatap Matamu ini memberitahu isterinya sudah ditempatkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas pembedahan.

Malah disebabkan pendarahan yang banyak semasa pembedahan, doktor memaklumkan terpaksa membuang rahim isterinya.

“Alhamdulillah, pembedahan telah selesai, kini isteri saya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) untuk monitor keadaan, setakat ini keadaan isteri saya stabil, walaupun banyak darah waktu pembedahan.

“Untuk pengetahuan semua, isteri saya mempunyai 3 ketul fibroid dan 1 yang paling mengganggu pengecutan rahim selepas proses bersalin adalah di bahagian rahim, oleh sebab itu, pendarahan tidak berhenti dan akhirnya doktor membuat keputusan untuk membuang rahim.

“InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar dan doakan supaya isteri saya recover secepat mungkin, Thank you,” ujarnya.

Untuk rekod, Aril dan Puteri mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Tun Adriel Mikael, 8.

Terdahulu, pasangan ini pernah berkongsi mengenai fabroid yang dialami Puteri yang dikesan sejak dua tahun lalu.

Maya Basir