Video Merisik Tular Bukan Gimik, Sufian Suhaimi Akui Dah Bersedia Nak Tamatkan Zaman Bujang – “Saya & Rania Rancang Kahwin Pada…”

Penyanyi dan pelakon, Sufian Suhaimi sudah selamat merisik kekasih hatinya iaitu Rania Al-Sadat pada satu majlis tertutup yang berlangsung di kediaman wanita itu, pada Ahad.

Memetik laporan Harian Metro, Sufian mengakui ianya memang majlis merisik sebelum melangkah ke fasa perkahwinan dan bukanlah gimik.

“Alhamdulillah, majlis merisik itu berjalan dengan lancar semalam dan ia sama sekali bukan gimik untuk pembikinan muzik video lagu baharu saya atau sebagainya.

“Saya memang dah sedia untuk tamatkan zaman bujang.

“Saya dan Rania merancang untuk majlis perkahwinan kami diadakan pada Disember depan atau Januari 2024, bergantung pada lokasi majlis dan segala persiapan kami berdua,” katanya.

Pada masa sama, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakannya dan kekasih dan berharap urusan ke jinjang pelamin dipermudahkan.

Terdahulu, tular satu hantaran video di TikTok yang menunjukkan Sufian hadir kediaman Rania bagi tujuan merisik.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Sama Cantik, Sama Padan! Sufian Suhaimi Didakwa Hantar Rombongan Merisik ‘Sayang’?

Sebelum ini, kisah hubungan penyanyi lagu Di Matamu itu bersama Rania pernah menjadi perhatian media pada April lalu ketika mereka hadir di majlis perkahwinan penyanyi dan pelakon Aiman Tino.

Namun, Sufian sekadar memperkenalkannya dengan panggilan ‘Sayang’ dan berusia 23 tahun serta memaklumkan mereka saling mengenali daripada kawan pada tahun lalu.

Maya Basir