Categories: SelebritiTrending

Dakwa Ruhainies Tarik Diri Lepas 2 Bulan Jadi Duta, Pengasas Produk Kecantikan Alami Kerugian & Kemurungan Teruk – “Ia Satu Penghinaan Yang Jelas”

Syarikat produk kecantikan, Aurebella Beauty mendakwa pelakon Ruhainies telah melanggar kontrak dengan menarik diri daripada menjadi duta kepada produk mereka iaitu Mixberries Royal Women.

Susulan itu, memetik laporan OhBulan! pihak Aurebella Beauty memberitahu akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap Ruhainies.

Menurut Pengarah Urusan yang juga pengasas bersama Aurebella Beauty, Mohamad Aiman Hakim Nur Hashim telah mendakwa pelakon jelita itu menarik diri dan gagal menjalankan tugasnya sebagai duta produk Mixberries Royal Women serta menyebabkan ketidakpuasan hati syarikat dengan prestasi kerjanya.

“Secara kasarnya kami tidak berpuas hati dengan prestasi kerja Ruhainies selepas dua bulan dilantik sebagai duta. Banyak perkara yang tidak dilakukan namun pihak kami masih belum boleh mendedahkannya,” katanya.

Bukan itu sahaja, Aiman juga mendedahkan bahawa tindakan Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, menyebabkan dirinya mengalami kemurungan teruk selain syarikatnya mengalami kerugian besar atas penarikan diri pelakon itu.

“Saya alami kemurungan yang sangat teruk susulan kejadian ini. Tindakan Ruhainies telah merendahkan kredibiliti kami dan juga syarikat dan ianya bagi kami adalah satu penghinaan yang jelas.

“Pengunduran Ruhainies telah menyebabkan syarikat kami mengalami kerugian daripada majlis pelancaran, produk yang telah dicetak nama Ruhainies dan juga jualan daripada master stokis yang bersetuju untuk bersama kami,” jelasnya kepada OhBulan!

Lantaran itu, Aiman memberitahu pihaknya akan menuntut dua perkara terhadap Ruhainies.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang dan menuntut dua perkara. Pertama ialah Ruhainies perlu menanggung semua kerugian yang syarikat kami alami dan dia juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka,” tegasnya lagi.

Sumber: OhBulan!

Atiqah Johari