Categories: Selebriti

Noor Nabila & Engku Emran Bakal Bercerai

Selebriti dan usahawan terkenal Noor Nabila memaklumkan dia dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin bakal bercerai dalam waktu terdekat, selepas dua tahun berkahwin.

Menurut Nabila, keputusan itu dibuat selepas Emran menyatakan hasrat untuk tidak meneruskan rumah tangga mereka selepas tinggal berasingan sejak Januari lalu.

“Kami dalam proses perceraian dan akan diputuskan dalam masa terdekat. Emran pun sudah menyatakan keinginan dia untuk bercerai selepas dia keluar dari rumah saya sejak awal Januari lalu.

“Alhamdulillah, ketika dia beritahu hasratnya untuk bercerai, kami berbincang secara baik dan tenang serta menerima segala keputusan yang ditentukan dengan reda dan hati terbuka.

“Jodoh ajal maut adalah aturan Allah SWT, tiada siapa yang nak berkahwin untuk bercerai dan saya juga impikan perkahwinan yang bahagia dan berpanjangan,” katanya.

Enggan mengulas lanjut masalah rumah tangga yang dihadapi, kakak kepada selebriti terkenal Neelofa ini memilih untuk menyimpan rapi perkara itu dan menjadikan pengajaran buat dirinya.

“Saya sudah buat yang terbaik sepanjang proses perkahwinan ini. Namun, sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada ujian dan dugaan rumah tangga.

“Sepatutnya, kita pasangan suami isteri saling berkorban dan sentiasa ada untuk satu sama lain dalam apa jua keadaan. Malangnya kami tak mampu jadi pasangan seperti itu.

“Masalah antara kami sudah lama berpanjangan dan saya berserah dengan takdir dan yakin ini adalah aturan terbaik dari Nya untuk saya dan anak lalui,” jelasnya.

Terdahulu, sumber rapat pasangan itu mengatakan mereka sudah tidak tinggal sebumbung dan dikatakan sedang menjalani proses perceraian.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak Lagi Sebumbung, Noor Nabila & Engku Emran Cerai?

Sebelum ini, Nabila dan Engku Emran telah mendirikan rumah tangga pada 19 Mac 2021, namun tidak memperolehi cahaya mata.

Engku Emran juga pernah berkahwin dengan penyanyi Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.

Kemudian, Engku Emran dan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella telah berkahwin pada 8 September 2017 namun bercerai pada tahun 2020.

Sementara itu, Nabila dan Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain