Selena Gomez Dihentam Netizen Gara-Gara Tak Sebut Nama Rakan Penderma Buah Pinggang

Selebriti antarabangsa, Selena Gomez dihentam netizen apabila tidak menyebut nama rakan yang menderma buah pinggang kepadanya iaitu pelakon Francia Raisa di dalam sebuah temubual.

Menerusi dokumentari My Mind and Me, Selena berkongsi tentang penyakit Lupus yang dihadapinya serta memberitahu pertemuan dengan rakannya, Francia merupakan satu keberkatan.

Mereka berdua berkenalan pada 2007 ketika lawatan ke hospital kanak-kanak dan pada tahun 2021, pemindahan buah pinggang telah dilakukan.

Namun baru-baru ini di dalam temubual bersama Rolling Stone, Selena menceritakan tentang kesukarannya untuk berkawan dengan orang-orang terkenal.

“Saya tak pernah serasi dengan kumpulan-kumpulan wanita dalam kalangan selebriti. Kawan saya dalam industri ni hanyalah Taylor Swift,” katanya.

Menerusi perkongsian komen Selena di Instagram E! News, Francia didakwa meninggalkan komen namun dipercayai sudah dipadam.

“Menarik,” tulis Francia.

Kemudian, menerusi perkongsian @stephwithdadeets di TikTok, netizen membanjiri ruangan komen foto Selena dan Fracia selepas pemindahan buah pinggang dengan mengkritik penyanyi itu.

Tidak hanya berdiam, Selena tampil bersuara mengenai isu tidak menyebut nama rakan yang mendermakan buah pinggang untuknya.

“Maaf saya tak menyebut setiap orang yang saya kenal,” komen Selena.

Di Twitter, rata-rata netizen menghentam dirinya kerana seperti tidak mengenang jasa.

“Ada cara yang lebih baik untuk memperkatakan ini.

“Kalau saya Francia, saya akan tarik dia pergi klinik operasi,” komen netizen.

Untuk rekod, Francia tidak lagi mengikuti Selena di Instagram.

Maya Basir