“Selepas 38 Tahun…Ini Momen Paling Epik!” – Amy Search

Momen paling epik buat penyanyi rock legenda, Amy Search. Apatah lagi apabila kostum yang pernah dipakai Amy ketika Konsert Fenomena Search pada 2011 diabadikan di Hard Rock Hotel, Desaru Coast, Johor bermula 28 September lalu.

Menerusi IG miliknya, Amy menganggap ia sebagai pengiktirafan bertaraf antarabangsa dan tertinggi dalam sejarah karier muziknya selepas 38 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

“Alhamdulillah selepas 38 tahun dalam bidang muzik. Ini adalah momen paling epik. Saat yang aku idamkan.

“Walaupun bukan penghargaan dari negeri Johor tetapi diberikan di negeri kelahiranku sebagai anak Johor sekali gus peninggalan untuk generasi Rock & Roll yang akan datang,” tulisnya.

Amy sememangnya sudah lama menyimpan impian mahu melihat memorabilia miliknya diabadikan di Hard Rock Cafe (HRC).

Tulisnya, kali pertama berkunjung ke HRC dan melihat memorabilia milik artis lain di abadikan, dia berangan memorabilia miliknya juga akan diabadikan di situ.

“Terima kasih pihak Hard Rock Hotel Desaru Coast Johor kerana mengabadikan salah satu koleksi kostum dan ‘nuckle head mic stand’ yang juga kenangan terindah ketika Konsert Jelajah Fenomena 30 tahun Search pada 2011.

“Ia akan menjadi ikonik rock & roll ‘trademark’ Hard Rock Hotel Desaru Coast, Johor,” luahnya di instagram lagi.

Selain kostum ikonik itu, Amy turut diberi penghargaan melancarkan majlis pembukaan Hard Rock Hotel Desaru Coast, semalam.

Oleh: Guy Masaki

Del14