Selepas Lagu Cinta Kita 2, Ahmad Adly Tampil Dengan Nota Hasratku

Finalis program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2), Ahmad Adly kini tampil dengan single terbaru berjudul Nota Hasratku.

Mengorak langkah tampil dengan lagu ciptaannya sendiri bersama komposer Nuriman, Adly mengakui LCK2 memperkenalkan namanya kepada peminat seni tanah air.

“Di LCK2, saya bergandingan dengan Darling. Tak dinafikan, LCK2 memperkenalkan nama saya kepada kebanyakan peminat. Ada yang sudah lama kenal, tak kurang juga yang baru menyedari kehadiran saya. Apa-apa pun terima kasih atas sokongan semua sehingga ke hari ini.

“Kini, saya tampil dengan single Nota Hasratku dan berharap ia dapat menjadi tapak untuk saya mengukuhkan nama dalam bidang seni. Saya berharap lagu ini akan memberikan semangat kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” katanya.

Adly ditemui di sidang media pelancaran lagu Nota Hasratku secara virtual baru-baru ini.

Tambah Adly, lagu ini turut menceritakan pengalamannya ketika mula bertapak dalam industri seni sekitar tahun 2017.

“Nota Hasratku memberikan banyak maksud. Saya akui ia juga ada kena mengena dengan perjalanan saya untuk memulakan langkah dalam bidang seni. Saya pernah berhadapan dengan orang yang bertindak tikam belakang dan menjanjikan pelbagai perkara ketika mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian.

“Pengalaman itu sangat berharga bagi saya kerana bermula detik itu, saya lebih berhati-hati mengorak langkah. Ia memang satu pengalaman buruk tapi tak membantutkan usaha saya untuk maju dalam bidang ini kerana saya sangat meminati apa yang saya lakukan sekarang,” katanya lagi.

Nota Hasratku merupakan kerjasama antara Indigital Music dan Alternate Records. Lagu ini juga menjadi runut bunyi kepada drama Lelaki Pendosa yang bakal ditayangkan di TV3.

Padin