Categories: HiburanSelebriti

Selepas Semua Sudah, Elizabeth Tan Kini ‘Hidup Semula’

Selepas Semua Sudah, penyanyi bersuara seksi Elizabeth Tan kini muncul dengan single terbaru berjudul Hidup Semula.

Lagu ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak ini juga diangkat sebagai lagu runut bunyi filem Misteri Dilaila dan dijangka dilancarkan serentak pada hari tayangan filem itu.

Lagu terbaru nyanyian Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy ini menjanjikan kepuasan kepada pendengar dengan penambahan elemen seram dan hiba menerusi lagu tersebut. 

Sebagaimana lazimnya piano digunakan dalam runut bunyi filem seram, Audi Mok turut mengambil konsep yang sama apabila petikan piano diberikan fokus dalam susunan muzik Hidup Semula.

 Penggunaan bunyi ketukan xilofon dan kesan khas bunyi herot-benyot menambahkan lagi keseraman lagu ini.

Apatah lagi jika dihayati, bait-bait lirik yang dilantunkan Lizzy itu, sebenarnya bercerita tentang kesempatan kedua untuk perbetulkan kesilapan jika diberi peluang untuk bangkit dari kematian dan hidup semula.

 ‘Misteri Dilaila’ merupakan filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof ini menampilkan Lizzy sendiri sebagai salah satu daripada teraju utamanya. Filem yang turut dibintangi pelakon tersohor tanahair seperti Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Rosyam Noor dan Namron ini, boleh mula ditonton di pawagam seluruh negara bermula semalam (21 Februari 2019)  

 Hidup Semula diterbitkan oleh Warner Music Malaysia dan kini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. 

SGMS Faida