“Semoga Makian Anda Berbalik Pada Diri Sendiri, Kifarah Tu Wujud!” – 20 Tahun ‘Pendam’ Rasa, Enot Elak Buka Aib Rakan

Pelakon dan pelawak, Enot enggan memberikan komen lanjut mengenai dakwaan kononnya dia adalah individu yang dimaksudkan oleh pelakon Didie Alias dalam temu bual program popular TV3, Melodi baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak berdiam diri dengan cacian netizen terhadapnya susulan video tular tersebut, Enot mendoakan agar segala kata-kata makian yang diberikan berbalik kepada mereka yang menghina dan mengutuknya dirinya.

“Hebat lah kamu semua dari semalam non stop memaki hamun aku tanpa tahu cerita sebenar.

“Alhamdulillah semoga makian anda berbalik pada anda. Ingat, kifarah tu wujud,” katanya.

Dalam pada itu, Enot berharap agar pihak yang tidak mengetahui cerita sebenar disebalik kejadian dia berjauh hati  tidak terus menyimbah minyak ke dalam api.

Ini kerana, selama hampir 20 tahun dia mengambil inisiatif untuk berdiam diri dek kerana tidak mahu membuka aib mana-mana pihak.

“Aku menangis pun tak guna, orang hanya tengok dan nilai dari apa yang mereka nampak. Tapi yang menanggung segala-galanya adalah aku.

“So, tak payah tambahkan dosa anda kalau tak tahu cerita sebenar. Aku yang tempoh selama 20 tahun, aku malas nak cakap apa-apa takut terbuka aib orang.

“Yang cakap elok-elok tu terima kasih atas nasihat. Setiap hari aku perbaiki diri lebih elok dari sebelumnya. Insya-Allah aku ada Allah yang tahu segalanya,” jelasnya.

Perkara itu dikongsi Enot atau nama penuhnya, Aliza Abdullah, 44, menerusi hantaran di TikTok miliknya pada Isnin.

Tidak habis disitu, Enot menerusi hantaran yang berlainan pula dilihat seakan-akan memberi gambaran dia sudah lama berasa hati dan kecewa terhadap rakan baiknya namun tidak menyebutkan nama mana-mana individu.

Namun, jika diteliti tanda pagar yang digunakan pada hantaran tersebut #carahalustanamkawan2hidup2 ia seolah-olah merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh wartawan dan penerbit Melodi, Michelle Wee ketika menemu bual Didie Alias baru-baru ini.

Terdahulu, Didie Alias meluahkan rasa kecewa apabila rakan baiknya memilih ‘jalan’ yang salah apabila kembali dengan  kehidupan songsangnya.

Bahkan, dia sudah berpesan berkali-kali kepada rakannya itu namun gagal.

 

Salma Syahbuddin