Serik Kena Tipu, Andi Bernadee Pilih Kawan – “Bulan Demi Bulan, Baru Nampak Perangai Sebenar”

Penyanyi Andi Bernadee mengakui lebih berhati-hati dalam memilih kawan selepas pengalaman ditipu rakan baik dua tahun lalu.

Memetik laporan Utusan, dia selesa tidak berkawan ramai dan hanya mendekatkan diri dengan keluarga.

“Dalam industri, kita tahu mana kawan mana lawan. Sebelum mengenali seseorang, yang kita nampak hanya luaran. Bulan demi bulan, baru nampak perangai sebenar.

“Jadi, sekarang saya fokus pada diri sendiri dan memilih untuk tidak berkawan ramai.

“Tanyalah pada sesiapa pun, kawan saya (sekarang) memang tak ramai. Terhad kepada circle yang sama dan keluarga, itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Andi bersyukur diberi peluang untuk berlakon dan menyanyi selepas mengalami episod hitam beberapa tahun lalu, termasuk kerugian hampir RM70,000 kerana ditipu rakan baik dan menjadi mangsa sihir.

Malah, dia percaya, kekuatan untuk bangkit semula dalam industri seni adalah berkat daripada doa ibu bapanya.

“Saya breadwinner dalam keluarga. Mereka adalah segala-galanya untuk saya. Doa dan restu ibu ayah itu penting,” ujarnya.

Maya Basir