Setahun Menyepi, Ara Johari Buat ‘Comeback’ Dengan SUDAH

Setelah hampir setahun tidak muncul dengan mana-mana single, Ara membuat ‘comeback’ yang ditunggu-tunggu melalui lagu terbaharunya berjudul ‘SUDAH’.

Sudah merupakan single bergenre balada rock dengan ‘vibe’ lagu-lagu di era 90-an yang ‘hits’, sama seperti single Bunga yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu.

“Saya bukannya tidak mahu muncul dengan lagu baharu, tetapi proses pembikinan lagu ini mengambil masa yang agak lama dan saya hendak pastikan ianya betul-betul bermutu, baharulah saya akan lancarkannya,” katanya.

Pemilik nama penuh, Nurfarrah Izzatie Johari, 26, yang juga Naib Juara pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 menerusi lagu ‘Bunga’ ini berkata,  lagu Sudah terhasil atas permintaan peminat.

“Sebenarnya, ramai peminat yang mahukan lagu seperti Bunga dihasilkan semula dan lagu ini adalah jawapannya dan hadiah untuk mereka semua.

“Jalan ceritanya pula mengisahkan tentang sebuah perhubungan yang dibina bertahun lamanya, banyak dugaan yang dihadapi bersama, tetapi apabila hanya sebelah pihak sahaja yang setia dan tidak sebaliknya, walaupun setelah banyak peluang telah diberikan demi mempertahankan hubungan tersebut, namun akhirnya dikhianati juga.

“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu SUDAH ini dengan sebaiknya, dan  semoga liriknya ‘bisa’ membuat rakyat Malaysia semakin ‘galau’, jelasnya.

Sekadar info, lagu terbitan label Rocketfuel Entertainment ini kini sudah boleh di muat naik menerusi aplikasi penstriman diJoox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. 

Salma Syahbuddin