Tampil Dengan Kolaborasi Sulung ‘Akhir Cerita’, Aziz Harun & Dalia Farhana Akui Ada ‘Chemistry’

“Meski berat untuk berpisah, sedang masih ada rasa cinta, namun perpisahan jalan terbaiknya”.

Itu antara mesej yang terkandung dalam single duet yang menampilkan kolaborasi sulung antara penyanyi, Dalia Farhana dan Aziz Harun.

Istimewanya, lagu bergenre ‘modern ballad’ itu adalah hasil ciptaan mereka berdua bersama Eugene Lai sekaligus mengetengahkan sisi matang kedua-dua penyanyi ini.

Menurut Dalia atau nama penuhnya, Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar, ini adalah penghormatan untuk dirinya kerana dapat bekerjasama dengan Aziz.

“Projek lagu ini adalah pertama kali saya bekerjasama dengan Aziz dan sebenarnya saya sudah menjadi peminatnya. Jadi, ini adalah satu penghormatan apabila dapat bekerjasama dengan Aziz.

“Saya taksangka pertama kali kami berjumpa sudah boleh tulis lirik lagu bersama-sama. Itu adalah sesi yang sangat menarik kerana pertama kali menulis lagu bersama orang lain, jadi saya banyak belajar daripada Aziz.

“Selain Aziz, saya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Eugene Lai dalam lagu ini. Sangat senang bekerja dengan mereka walaupun baru pertama kali, jadi saya sangat berterima kasih kerana mereka juga terbuka untuk menerima idea saya. Mereka juga banyak memberi pendapat dalam perbincangan dan usaha untuk menyiapkan lagu ini. Kami bukan sekadar bekerja tetapi berkarya bersama-sama,” katanya.

Berkongsi lanjut, Dalia berkata, bekerjasama dengan Aziz juga sangat mudah dan menyeronokkan.

“Senang sahaja bekerja dengan Aziz kerana dia seorang yang menyeronokkan. Bekerja dengan dia memang banyak ketawa sebab kami jenis orang yang susah serius.

“Apabila kami berbincang untuk menyiapkan lagu ini, sebenarnya kami sedang berbual dan daripada itu tercetus idea untuk jalan cerita lagu ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Senyum ini juga mengakui, walaupun berdepan sedikit cabaran, namun pemilihan Dalia sebagai rakan duetnya adalah tepat.

“Satu pengalaman yang menarik apabila dapat bekerjasama dengan Dalia. Biarpun ‘range’ vokal kami berbeza, tapi, sebab Dalia pun terbuka, jadi kami cuba dan gembira dan puas hati  dengan hasil lagu ini.

“Cabarannya mungkin ‘key’ kami berbeza. Jadi, kami perlu cari keseimbangan dari segi melodi supaya tak ada sesiapa yang lebih atau kurang. Dalam masa sama, gubahan muzik juga cabaran besar masa buat lagu ni. Kita nak dapatkan ‘vibes’ sedih sebab ada dua penyanyi. Tak nak dua penyanyi ‘overshadow’ lagu dan mesej lagu ni.

“Melodi lagu pun tak berat sangat. Tapi sebab dua orang bekerjasama, lagilah kena hati-hati dalam semua aspek pembikinan lagu.

“Dari segi proses penggambaran video muzik pun mudah. Kami jenis yang ‘easy going’ dan terbuka untuk idea. Sangat mudah bekerjasama dengan semua pasukan,” ujarnya.

Salma Syahbuddin