Categories: Hiburan

Xpose Muncul Dengan Separuh Jiwa Selepas 2 Tahun, Tak Kisah Muzik Video Dikecam

Kumpulan rock Xpose Bandtampil dengan lagu baharu yang berjudul, Separuh Jiwa selepas dua tahun.

Malah, lagu ciptaan vokalis, Furhan dan gitaris, Eppy itu ditampilkan bersama muzik video selepas single tersebut terhasil, pada Jun lalu.

Tampil berbeza dalam muzik video lagu mereka kali ini, Suparuh Jiwa tampil memaparkan elemen penunggang agama, pedofilia dan penagih dadah.

Menurut Furhan, mereka sudah bersedia untuk bertanggungjawab dengan sebarang kecaman yang akan diterima kerana lebih mengutamakan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan.

“Tak kisahlah kalau orang kecam sebab tanggungjawab kami adalah untuk sampaikan mesej itu,”

“Kami paparkan kisah kehidupan seorang penagih dadah yang dilakonkan Eppy, kisah penunggang agama yang membawa ajaran sesat lakonan saya dan kisah seorang individu pedofilia lakonan Taqim.

“Semuanya sinonim dengan kisah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Tak kiralah, sama ada ia berlaku kepada orang lain atau diri kita sendiri,” katanya.

Tambah vokalis kumpulan itu, dia bersama anggota lain, Eppy dan Taqim sentiasa terbuka dengan sebarang kritikan atau pandangan penonton.

“Pengajaran yang ingin kami sampaikan menerusi lagu Separuh Jiwa dan video muzik ini adalah jangan ikut benda-benda yang salah.

“Kalau penonton memberi persepsi berbeza, kami serahkan kepada mereka sendiri kerana kami sudah sajikan satu mesej yang jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Eppy turut menganggap pendedahan yang disampaikan dalam muzik video ini mampu menjadi pengajaran buat generasi akan datang.

“Saya dan Taqim bakal menimang anak. Jadi, kami tak mahu generasi masa hadapan, diduga dengan kesesatan sebegini. Inilah satu cara dan medium untuk kami sampaikan nasihat kepada mereka yang menonton,” katanya.

Orang ramai sudah boleh menonton muzik video Separuh Jiwa di YouTube pada 26 September 2023, semalam.

Fatin Nurain