#SFMM38: Aina Abdul Dedah Alami Tahap Kesihatan Kurang Memuaskan – “Memang Boleh Kerja Tapi Badan Perlu Rehat”

Penyanyi bersuara lunak, Aina Abdul mendedahkan, tahap kesihatannya kurang memuaskan ketika membuat persembahan pada hari pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38).

Menurut pemilik nama penuh, Nurul Aina Abdul Ghani, 30, kesihatannya mula terganggu selepas dia menjayakan konsert solonya, A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA) pada 18 November lalu.

“Saya memang kurang sihat sikit beberapa hari ini,  selalunya kalau habis kerja yang besar (konsert),  saya akan selalu tak sedap badan dan jatuh sakit. Sebabnya saya dah pulun badan saya untuk hari itu jadi selepas sahaja konsertm saya memang tak ada rehat yang panjang lagi.

“Saya memang boleh kerja, tapi badan kita juga sebenarnya perlukan rehat yang cukup,” katanya.

Aina berkongsi mengenai perkara itu seusai hari pertama SFMM38 berlangsung di Studio 1 Glenmarie, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aina memaklumkan, dia ada berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat berhubung masalah kesihatan yang dihadapinya.

“Tapi saya ada jumpa doktor dan juga buat excercise, makan yang betul … jadi harini saya prepare diri saya, makan apa yang disuruh dan itu sahaja yang saya ikut. Alhamdulillah saya boleh menyanyi tadi.

“Saya tak demam tapi saya ada masalah dengan sistem penghadaman. Saya juga tidak boleh makan makanan pejal. Saya hanya makan, makanan berair sahaja,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut mengenai kejayaannya hari ini, pelantun lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ bersyukur dan berasa gembira kerana dapat memberikan yang terbaik buat peminat dan penonton yang hadir, sekaligus berjaya membawa pulang hadiah berjumlah RM5,000 menerusi lagu terbaik dan lagu Pilihan Alha Alfa.

“Harini saya terharu sebabnya saya tak sangka. Saya datang sebab nak jumpa peminat saya dan nak bagi satu inroduction yang baik.

“Saya rasa sangat happy, sebabnya saya tahu lagu-lagu yang bertanding harini semuanya hebat-hebat dan ada juga lagu-lagu yang saya memang suka dan ada juga penyanyi yang menjadi idola saya.

“Dan semangat tu lagi membuatkan saya rasa nak buat yang terbaik. Alhamdulillah, saya juga anggap ini adalah rezeki Ainations,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah lagu yang memberi saingan terdekat buatnya, Aina berkata, dia sangat sukakan lagu Waktu nyanyian duet Ziana Zain dan Hasif.

“ Jujurnya, saya sangat suka dengan lagu Waktu. Nyanyian Ziana Zain. Saya memang obses dengan Kak Ziana pun sebab saya memang sayang sangat dekat dia.

“Apa yang holeh saya katakan saya sayang Kak Ziana. The way dia support saya seikhlas hati. Anggap saya macam adik dia. Saya sayang dia sangat-sangat,” katanya.

Selain Jangan Mati Rasa Itu nyanyian Aina Abdul, sebanyak 11 buah lagu turut dipertandingkan pada hari pertama SFMM38.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fizza Frizzy akan bersiaran secara langsung pada 15, 16 dan 17 Disember ini jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

SFMM38 turut menyaksikan 30 karya lagu bakal merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN:#SFMM38: Aina Abdul Bolot Hadiah Hari Pertama! Jangan Mati Rasa Itu Dipilih Sebagai Lagu Terbaik & Lagu Pilihan Penaja

Salma Syahbuddin