Categories: HiburanTrending

#SFMM38: Hari Kedua Lebih Hangat! ‘Sutera’ Aisha Reto Lagu Terbaik & ‘Astana’ Ernie Zakri Lagu Pilihan Penaja

Lagu Sutera nyanyian Aisha Retno dipilih sebagai lagu terbaik hari kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Studio 1 Glenmarie, Shah Alam, sebentar tadi.

Lagu ciptaan Aisha bersama MFMF dan lirik oleh penyanyi itu sendiri berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan barangan eksklusif tajaan penaja utama Alha Alfa.

Lagu kontroversi, Astana nyanyian Ernie Zakri pula diumumkan sebagai Lagu Pilihan Alha Alfa sekali gus berjaya membawa pulang RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Bagaimanapun, lagu Sutera dan Astana tidak semestinya layak ke Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) tahun hadapan.

Selain Sutera dan Astana, lapan lagu yang bertanding hari ini adalah Korbankan Kita nyanyian Mojo, Kamu Kamu (Wani Kayrie), Alah Bisa (Amira Othman & Putera Muhammad), Cinta Hanya Buatan (Afieq Shazwan & Muna Shahirah), Cinta Sahabiyah (Datin Alyah), Menyantun Kasih (Siti Nordiana), Sejuta Maaf (Liza Hanim) dan Kalam (Shiha Zikir).

SFMM38 berlangsung selama tiga hari iaitu 15, 16 dan 17 Disember 2023 dan bersiaran di TV3 dan boleh distrim secara HD di Tonton.

Di hari ketiga SFMM38, 12 lagu terbaik bakal diumumkan untuk bersaing di AJL38 bakal berlangsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, tahun depan.

Semua lagu yang bertanding di SFMM38 itu diadili oleh barisan juri iaitu Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap, Azmeer, LY dan Datuk Mokhzani Ismail yang bertindak selaku ketua juri.

Hari kedua SFMM38 dimeriahkan dengan persembahan jemputan juara AJL30, Akim & The Majistret.

Padin