Sharifah Amani Akui Gementar Berpuasa Ketika Berbadan Dua

Pelakon Sharifah Amani mengakui dirinya gementar untuk berpuasa ketika sedang hamil buat pertama kali.

Menurut Amani, doktor membenarkannya untuk berpuasa namun dia sedikit bimbang dengan keadaannya memandangkan dia bertubuh kecil.

“Saya dibenarkan berpuasa tapi kita tengok macam mana. Saya tak pernah lalui, kalau boleh saya nak puasa. Saya nervous juga sebab saya orangnya kecil. Hopefully, semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui XTRA.

Dalam pada itu, pelakon filem Sepet itu turut mengakui dia juga mendapat saranan doktor untuk mengambil supplement atau makanan tambahan untuk kekal bertenaga.

“Saya rasa semua orang dinasihatkan untuk makan supplement. Lain orang, lain doktor akan nasihatkan makan supplement tapi saya agak basic,” jelasnya.

Ditanyakan tentang persediaan menjadi seorang ibu, Amani percaya setiap wanita melalui fasa yang berbeza.

Namun, dia mengakui tidak kekok memandangkan sudah mendalami ilmu keibu bapaan atau ‘parenting’ sepanjang membesarkan anak saudaranya.

“Saya dari dulu memang minat sebab adik-beradik saya perempuan. Mereka semua pun dah menjadi ibu.

“Saya bersyukur saya berada di momen itu untuk jadi babysitter, jaga dan melayani mereka. Alhamdulillah, saya tak kekok,” katanya.

Bagaimana pun Amani menyatakan dia tidak tahu sejauh mana kesediaannya untuk bergelar seorang ibu sebaliknya, berharap agar proses itu berjalan lancar dan dipermudahkan

“Sejujurnya, saya rasa siapa yang pernah atau akan jadi ibu bapa tak boleh kata mereka dah bersedia. Bagi saya saya suka tengok macam mana ia berjalan dan banyak doa agar segalanya dipermudahkan.

“Alhamdulillah, selepas saya maklumkan yang saya mengandung, saya banyak dapat kiriman doa,” ujarnya.

Fatin Nurain