‘Siapa Cepat Dia Dapat’- Ifa Raziah Nafi ‘Sailang’ Penganjur Lain

Pengacara terkenal Ifa Raziah menyifatkan tawaran yang diterima oleh pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menganjurkan festival Star Vendors Raya sebagai rezeki selepas pulang dari tanah suci, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Ifa ketika ditemui di sidang media pengumuman festival berkenaan menafikan timbul unsur ‘sailang’ projek daripada pihak penganjur lain.

” Kalau Allah dah tetapkan ia rezeki saya, maka ia akan menjadi rezeki Ifa Raziah juga. Semuanya berlaku tanpa disangka. Saya melalui proses pitching dengan pihak PWTC beberapa kali sebelum diberi kepercayaan oleh mereka. 

” Bagai Pucuk Dicita Ulam Mendatang, saya terus bersetuju. Saya menganggap berita ini sebagai rezeki dari Allah SWT yang mana saya akan lakukan sebaik mungkin. Ia bukan soal caras-mencaras. Konsepnya siapa cepat dia dapat,” kata Ifa di sidang media yang berlangsung di Bilik Melor, PWTC, hari ini.

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha turut berniat membantu para usahawan di luar sana yang memerlukan tempat untuk berniaga menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

” Kelainan yang saya bawakan mungkin dari segi harga. Saya faham dengan keadaan para peniaga yang perlu mengambil-kira soal kos dan untung. Jadi saya tidak akan terlalu ‘menekan’ mereka.

” Dengan harga permulaan dari RM 5,000 (bergantung kepada lokasi booth), peniaga berpeluang untuk membuka gerai mereka selama 72 jam tanpa henti.

” Saya percaya dengan jumlah pengunjung yang hadir pada tiga hari itu nanti, ramai usahawan akan berpuas hati dengan hasil jualan diterima. Tarikh festival ini juga diadakan beberapa hari sahaja menjelang Aidilfitri, sudah pasti ramai yang serbu ke Star Vendors untuk persiapan akhir,” akhirinya. 

Festival Star Vendors bakal berlangsung pada 24-26 Mei depan bakal menyaksikan ramai selebriti terkenal turut berniaga di sana nanti. Antaranya termasuklah Fattah Amin, Fazura, Erra Fazira, Datuk Awie, Datuk Aznil Haji Nawawi, Farah Nabila, Tya Ariffin, Hafiz Hamidun, Randy Pangalila dan ramai lagi. 

SGMS Faida