Lepas Kosmetik, Siti Nurhaliza Lancar Air Minuman!

Populariti dan pengaruh yang dimiliki penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat masih utuh. Tidak hanya di pentas seni, kelangsungan jenamanya dalam dunia perniagaan juga.

Penyanyi lagu Anta Permana itu bakal melancarkan air minuman kesihatan dan pemberi tenaga di bawah jenama BeauSiti tidak lama lagi.

“Sebenarnya rancangan untuk memproses dan mengetengahkan produk minuman kesihatan dan tenaga ini sudah lama dibuat.

“Pihak saya memulakan fasa research & development (R&D) sejak dua tahun lalu yang mana kami turut bekerjasama dengan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya kepada Xtra ketika ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi antara Simplysiti dan Shopee semalam.

Siti yang sebelum ini pernah mengeluarkan produk minuman teh sebelum ini, memaklumkan dia sendiri mengamalkan minuman ini sejak dua bulan lalu.

“Sebelum dilancarkan di pasaran saya sendiri mencuba minum dalam memastikan keberkesanannya.

“Saya tidak mahu produk minuman keluaran syarikat saya sekadar ‘tangkap muat’, sudah tentu saya mahu yang terbaik.

“Pihak syarikat juga menggunakan bantuan dan khidmat beberapa saintis dari makmal terbaik dalam menghasilkan minuman ini. Insha Allah saya mencari waktu sesuai untuk mengadakan hari pelancaran,” tambahnya sambil memberitahu minuman ini juga sesuai diminum oleh kaum lelaki.

SGMS Fas