Siti Muat Naik Teaser ‘Comel Pipi Merah’

Jika dihitung hari ini (24 Mac 2018) masuk hari ke 6, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39,  melalui detik sebagai seorang ibu.

Dan kepulangannya ke kediaman daripada Hospital Gleneagles semalam petanda ibu kepada bayi yang digelar ‘Fatimah Az-Zahra’ ini sudah sihat dan pulih malah akan melalui proses berpantang selama 44 hari seperti kebiasaannya wanita lain bersalin.

Perkongsian kepulangannya ke rumah yang dimuat naik pengurusnya, Rozi Abdul Razak menyaksikan penyanyi ‘Comel Pipi Merah’ ini melahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan pusat perubatan berkenaan.

Kredit: Instagram SIti Nurhaliza

Memetik laporan BH Online, Siti merasa sedih untuk meninggalkan pusat rawatan tersebut memandangkan sepanjang berada di sana beliau dan bayinya dilayan dengan baik bahkan kenangan  di situ adalah saat yang tidak mungkin dilupakan.

Sementara itu dilaman Instagram Siti, beliau turut memuat naik ‘teaser’ muzik video rasmi ‘Comel Pipi Merah’ sambil membayangkan video penuh akan terbit tidak lama lagi.

Lagu yang diinspirasikan daripada lagu rakyat kegemaran kanak-kanak iaitu ‘Can Mali Can’ ini bakal menyaksikan perjalanan dan pengorbanan Siti menggapai anugerah yang dikurniakan Allah kepadanya dan suami tercinta, Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa.

Siti selamat melahirkan bayi pipi comelnya, seberat 3.55 kilogram secara pembedahan kira-kira jam 8.17 pagi pada 19 Mac lalu.

SGMS Fas