Sungguh Kamu Aku Rindu (SKAR) Mengimbau Parut Kenangan Fahimi dan Athalia

Menghargai keberadaan orang lain adalah hal yang sederhana tapi amat bermakna. Hargai setiap insan yang kita sayang selagi mereka masih bernyawa.

Begitulah mesej utama yang cuba disampaikan Fahimi Rahmat dan Athalia dalam single duet terbaharu berjudul Sungguh Kamu Aku Rindu (SKAR).

Kolaborasi kali pertama dua anak muda ini adalah hasil kerjasama dua label muzik terkenal, Universal Music dan Faithful Music.

SKAR yang telah dilancarkan sejak 3 Mac lalu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Fahimi Rahmat dengan kerjasama Komposer Mike Chan.

“Sebenarnya lagu ini sudah dihasilkan dua tahun lalu tapi saya simpan sekejap kerana menunggu waktu yang terbaik untuk dilancarkan. Alhamdulillah tahun ini adalah waktu
terbaik.

“Jujurnya saya tulis lagu ini disebabkan satu peristiawa yang cukup memberi kesan
mendalam dalam hidup saya ketika itu. Bermula dari situ, saya ‘bangunkan’ lagu ini mengikut kisah yang saya lalui,” katanya


Dalam pada itu, Athalia menyifatkan kerjasama dengan Fahimi menerusi lagu SKAR adalah satu pengalaman berharga yang cukup manis.

Kata Athalia, ketika proses rakaman muzik video lagu itu, masing-masing cuba menterjemahkan maksud lagu yang disampaikan mengikut pemahaman sendiri.

“SKAR ini memberi pengertian yang cukup mendalam lebih-lebih lagi rasa rindu terhadap seseorang yang sudah tiada.

“Jujurnya kerjasama ini adalah satu pengalaman yang hebat buat diri saya sebab kami ada pandangan makna yang tersendiri untuk lagu ini,” katanya.

Sejak 3 Mac lalu, SKAR sudah dilancarkan di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music termasuk muzik video di YouTube rasmi Faithful.

Nurul Hana